Cubaan seorang lelaki menyeludup 52 reptilia hidup disembunyikan di bawah pakaiannya gagal apabila dipatahkan pihak berkuasa sempadan di Amerika Syarikat (AS).
NDTV memetik kenyataan media dikeluarkan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS melaporkan lelaki itu tiba di persimpangan sempadan San Ysidro dengan Mexico pada 25 Februari lalu. Dia memandu trak sebelum ditahan pegawai kastam untuk pemeriksaan lanjut. "Insiden itu berlaku pada jam 3 pagi, 25 Februari, apabila pegawai CBP terserempak dengan seorang lelaki warga AS berusia 30 tahun, memandu trak GMC 2018 dan tiba di persimpangan sempadan San Ysidro," dedah CBP AS.
Pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki tidak disebutkan namanya itu nyata mengejutkan. Pihak berkuasa sempadan menemui 52 reptilia hidup tersembunyi di dalam jaket, poket seluar dan kawasan pangkal paha lelaki itu. Reptilia itu termasuk 43 biawak dan sembilan ular yang turut disembunyikan dalam beg kecil. "Penyeludup akan lakukan pelbagai cara untuk memastikan barangan mereka atau dalam kes ini reptilia hidup, merentasi sempadan. "Dalam kesempatan ini, penyeludup cuba menipu pegawai CBP untuk membawa haiwan ini ke AS tanpa menjaga kesihatan dan keselamatan haiwan itu," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT