Melaka: Seorang gelandangan dipercayai dipukul di Jalan Pesisiran Bunga Raya di sini sehingga organ dalamannya pecah, mengalami pendarahan dalam kepala dan bibir koyak, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemui orang awam di kaki lima dalam keadaan berlumuran darah. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil laporan, sepasukan polis telah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, mangsa kemudian telah dikejarkan ke hospital kerana mengalami pendarahan teruk dengan beberapa kesan kecederaan di muka. “Mangsa telah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans dan berdasarkan laporan perubatan, organ dalaman perutnya pecah selain pendarahan di kepala serta bibir koyak. “Kita bagaimanapun belum dapat mengesan identiti mangsa, namun, kita percaya mangsa adalah gelandangan di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran. “Kita percaya mangsa telah dipukul, namun, belum dapat mengesahkannya lagi. “Setakat ini kita mendapat maklumat terdapat dua lelaki yang sering dilihat bersama mangsa dan meminta individu terbabit atau saksi lain tampil untuk membantu siasatan,” jelasnya. –CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT