Kuching: "Sebelum masuk hutan nipah itu, ada petanda tidak baik apabila kami terdengar pokok besar tumbang di laluan hadapan, namun tiada (pokok tumbang) pun selepas kami selidiki.
"Kami tidak mengendahkannya dan meneruskan perjalanan walaupun sedar bunyi itu mungkin petanda tidak baik," kata Wilson Ghani, salah seorang mangsa yang tersesat selama 11 jam di hutan nipah berdekatan Kampung Selabat, Muara Tebas, di sini, semalam. Wilson, 51, berkata bunyi pokok tumbang itu sekali lagi kedengaran sebelum mereka terperangkap di kawasan hutan terbabit pada 4 petang semalam.
"Seperti ketika mendengar bunyi itu kali pertama pada waktu pagi, kami sekali lagi mencari di mana datang bunyi itu, tetapi tiada sebarang tanda adanya pokok tumbang. "Tidak lama selepas itu air mula pasang dan membanjiri kawasan hutan nipah itu. Pada masa sama ribut dan hujan lebat melanda," katanya. Terdahulu, Wilson memasuki hutan itu untuk memancing dan menjala ikan bersama isterinya, Monica Tandai, 49 dan abang iparnya, Kedu Jutek, 81, pada 9 pagi semalam. Menurutnya, ketika hujan lebat dan ribut itu, mereka sedaya upaya mencari jalan untuk keluar, namun jejak serta tanda yang dibuat hilang apabila kawasan itu dinaiki air akibat hujan. "Air pasang dengan cepat dan kami berusaha mencari tempat tinggi untuk menyelamatkan diri. "Ketika itu, saya mula sedar bunyi pokok tumbang berkenaan mungkin petanda melarang kami memasuki hutan nipah dan saya yang mula cemas terus menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan," katanya. Wilson berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kemudian menghubunginya untuk mendapatkan lokasi tepat bagi memudahkan pencarian. Bagaimanapun, katanya, pasukan SAR turut menghadapi masalah untuk pergi ke lokasi berikutan hujan lebat serta banjir di kawasan hutan itu. "Kami mendengar suara pasukan SAR memanggil nama kami dan saya ada menyahut panggilan mereka, malah kami juga berhubung menerusi telefon namun kedudukan sukar dikesan. "Pada 3.20 pagi tadi, akhirnya kami ditemui. Ketika itu kami sudah terlalu lemah kerana lapar dan kesejukan, malah isteri saya tidak mampu berdiri lagi kerana kakinya kejang," katanya. Katanya, sebaik pasukan SAR berjaya menemui mereka, bateri telefon bimbitnya pun kehabisan dan dia bersyukur mereka tidak mengalami kecederaan teruk kecuali calar. "Ini kali pertama kami memasuki hutan nipah itu dan penduduk berdekatan memang ada berpesan supaya berhati-hati kerana ia dikatakan sebagai kawasan keras," katanya yang berasal dari Mongkos, Serian. Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya termasuk enam anggota pasukan elit STORM diketuai Mohamad Asnan Led melakukan pencarian sebaik pihaknya menerima panggilan pada 7.57 malam semalam. Menurutnya, operasi SAR berkenaan turut disertai lapan anggota polis, dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bako Indah serta 20 penduduk kampung. "Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan selamat berdasarkan lokasi yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
Nokiaman replied at 8-3-2022 05:34 AM
Kalau tak mancing Bukan Melayu namanya tu,,
ADVERTISEMENT