CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

"Nama Saya Muhammad Amir,"- Banyak Kisah Sayu Di Sebalik Bayi-Bayi Yang Ditinggalkan Di Baby Hatch

4-3-2022 02:27 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 4746| Komen: 53

Kuala Lumpur: Sebaik sahaja kedengaran dentingan berkali-kali loceng penggera, meskipun malam sudah larut, penjaga di Yayasan OrphanCare akan segera bergegas ke bilik peti pelindung bayi atau Baby Hatch.


Buat sekian kalinya, ada bayi perlu diselamatkan! Peti pelindung mengandungi katil bayi serta penghawa dingin beroperasi sepanjang minggu, 24 jam sehari.

Sebaik sahaja bayi dimasukkan ke dalam peti itu, bunyi loceng akan kedengaran dan lampu dalam bilik akan menyala. Peti itu secara automatik akan terkunci sejurus bayi diletakkan dan si 'pemberi' tidak boleh lagi mengambil atau melihatnya semula selepas peti berkenaan tertutup.

Langkah seterusnya adalah untuk petugas OrphanCare membawa bayi berkenaan ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut bagi memastikan kesihatannya stabil dan sihat.


Harian Metro

Pasti berdetik di hati, bayi yang tidak berdosa itu berhak punya ruang untuk menikmati kehidupan. Untuk apa mereka dibuang sedangkan titisan dosa bukan si kecil itu yang memulakan.

Tidak dinafikan, saat menatap wajah bayi di dalam peti pelindung bayi paling meruntun hati petugas di Yayasan OrphanCare yang ditubuhkan pada tahun 2008.

Berkongsi pengalaman yang menghibakan hati ini, Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare Riza Alwi berkata, ada bayi yang ditinggalkan di dalam peti itu hanya dibalut kain batik dengan tali pusat masih berdarah.

Tidak kurang juga ada yang menyiapkan bayi mereka lengkap berpakaian comel berserta beg dan susu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan peti itu, pernah muncul kelibat seorang lelaki muda yang beberapa kali mencium dan membetulkan keadaan bayi sebelum meninggalkan bayi itu.

Ada bayi yang ditinggalkan bersama nota yang tertera ayat, antaranya: "Saya baharu lahirkan anak saya dua hari lepas, tolong jaga anak saya", "Nama anak saya Muhamad Amir, saya sudah menyusukan dia dan sudah berjumpa doktor" dan "Tolong jaga bayi ini dan serahkan kepada keluarga Muslim."

Beliau berkata, jika bayi yang ditinggalkan bersama sedikit maklumat pada nota diberi, akan memudahkan pihaknya untuk mengesan keturunan bayi tersebut sama ada Islam atau bukan. Adakalanya bayi yang diletakkan dalam peti itu diselitkan nota dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

"Dari situ kita boleh tahu sedikit latar belakang bayi. Namun jika tiada sebarang maklumat berkenaan bayi itu dan dokumennya, bayi itu secara automatik berstatus agama Islam," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama di yayasan itu yang terletak di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Riza, maklumat mengenai waris yang meninggalkan bayi sangat penting dan diperlukan untuk memudahkan urusan pendaftaran bagi mendapatkan dokumen kewarganegaraan bayi itu.

"Tanpa maklumat, amat sukar dan bayi ini tidak mendapat taraf warganegara. Sekurang-kurangnya tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi. Meletak bayi di Baby Hatch bukan jenayah dan si ibu tidak bersalah dan tidak akan didakwa. Cuma apa yang kita minta tinggalkanlah maklumat untuk urusan bayi dan fikirkan masa depannya," katanya, sambil menambah, mereka yang meninggalkan bayi kebanyakannya memilih waktu malam dan awal pagi, mungkin tidak mahu diri mereka dilihat.

Ramai yang keliru dengan peti pelindung bayi dan menyangka Yayasan OrphanCare akan mengambil dan menyimpan bayi yang diserahkan. Anggapan ini tidak benar kerana bayi yang ditinggalkan akan segera diselamatkan dengan dibawa ke hospital.

Mengakui masih terdapat ramai yang belum mengetahui sepenuhnya fungsi peti pelindung bayi itu, Riza berkata, selepas membawa bayi ke hospital, pihak Yayasan Orphancare akan menjalankan urusan seterusnya iaitu menghubungi keluarga angkat yang sedang dalam senarai menunggu.

"Bayi akan dijaga rapi oleh pihak hospital termasuk pemberian susu. Kebiasaannya bayi akan berada beberapa hari di sana bagi memastikan keadaannya betul-betul sihat, tiada HIV dan bila bayi sihat baru kita akan menghubungi keluarga angkat, keluarga angkat ini boleh melihat bayi mereka di hospital," katanya.

Proses untuk keluarga angkat menerima bayi daripada yayasan berkenaan hanya memakan masa dari tujuh hingga 10 hari. Apabila selesai urusan dokumen berkenaan bayi dibuat, keluarga angkat boleh membawa bayi itu pulang ke rumah.

Menurut Riza, selain daripada peti perlindungan, dua cara bayi diselamatkan menerusi yayasan itu adalah sama ada ibu sedang mengandung datang ke pusat berkenaan dan ibu sudah melahirkan menyerahkan bayi mereka kepada yayasan untuk dijadikan anak angkat.

Sebenarnya, kesalahan tidak boleh diletakkan semata-mata kepada wanita atau remaja yang hamil kerana masing-masing menanggung kisah pahit yang mungkin membuatkan mereka mengandung serta melahirkan bayi tanpa pengetahuan keluarga atau masyarakat.

"Ramai ingat yang mengandung ini budak jahat, gila seks dan sebagainya. Sebenarnya tidak. Ramai yang baik. Mereka ini dari golongan anak-anak yang baik, tetapi menjadi mangsa rogol, mangsa seks adik-beradik dalam rumah, mangsa keadaan dan tidak dinafikan ada yang melakukan kesilapan," katanya.

Menurut Riza, meskipun khidmat Baby Hatch sudah dimulakan sejak tahun 2010, masih ramai yang tidak tahu mengenai perkara itu dan ada juga yang tidak berani untuk meletakkan bayi di tempat berkenaan.

"Ramai takut untuk membawa bayi ke sini kerana mereka ingat mereka boleh kena tangkap. Tidak sama sekali. Meletakkan bayi di Baby Hatch bukan satu jenayah. Meletakkan bayi dalam peti ini bermakna anda datang pada kita dan mohon pertolongan," katanya menambah, kebanyakan individu yang meletakkan bayi di peti itu adalah mereka yang sudah terdesak dan panik.

Yayasan OrphanCare, kata beliau, mengadakan khidmat Baby Hatch sebagai salah satu usaha mengurangkan kes buang bayi yang dilihat semakin membimbangkan.

"Kami mahu bayi yang dibuang ini dapat hidup dengan sempurna dan dibesarkan bersama keluarga angkat mereka dengan penuh kasih sayang.

"Jika kita lihat senario bayi dijumpai, mereka akan dibawa ke rumah kebajikan sebab bayi ini tidak boleh diambil kerana ada laporan polis. Apabila dimasukkan ke pusat kebajikan seperti rumah anak yatim dan sebagainya, si kecil ini akan membesar terus di sana dengan tiada identiti dan tiada waris, Ini bermakna mereka tidak ada kehidupan di luar.

"Bila mencapai umur 18 tahun, semua kanak-kanak yang berada di rumah anak yatim ini perlu keluar dari institusi. Dengan tiada keluarga, pelajaran serta terlalu lama duduk di institusi, golongan ini tidak mesra keluarga. Itu yang bila keluar dari rumah anak yatim, ramai jadi pelacur, penagih dadah, duduk bawah jambatan sebab tidak ada keluarga. Ada yang akan ikut senior mereka, jika senior jual dadah, maka junior ini akan ikut," katanya.

Justeru Riza berkata, Yayasan OrphanCare tidak mahu kejadian sedemikian berlaku maka Baby Hatch adalah antara jalan penyelesaian dengan memberi peluang kepada ibu yang melahirkan, menyelamatkan bayinya.

Dalam usaha menyelamatkan si kecil, Riza berkata Yayasan OrphanCare berhasrat untuk terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setakat ini kerjasama kita dengan PDRM adalah hanya menerusi laporan polis dibuat jika ada bayi yang diserahkan di sini untuk proses anak angkat. Jika boleh sekiranya ada bayi ditemukan, PDRM boleh juga menghubungi OrphanCare dan bayi itu tidak dihantar terus ke rumah anak yatim atau institusi kebajikan.

"Sekurang-kurangnya apabila diserahkan kepada kami (OrphanCare), bayi ini berpeluang membesar bersama keluarga angkat," katanya.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya menyelamatkan seramai 461 bayi. Untuk tahun 2022 pula, sehingga Februari 2022, pihaknya menerima enam orang bayi termasuk di cawangan OrphanCare di Johor Baharu dan Sungai Petani, Kedah.

Riza berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan JKM setiap negeri berhubung kes buang bayi.

"Kita bukan berniat hendak berlawan siapa dapat bayi lagi banyak, tetapi kita mahu bekerjasama bermaksud JKM jika bila dapat bayi pun boleh terus hubungi Orphancare dan boleh panggil ibu angkat kami. Ini kerana ibu angkat di pusat kami turut melalui proses JKM," katanya.

Sementara itu, Pentadbir Projek Yayasan OrphanCare Nur Azim Alia Mohamed Noor berkata, keluarga angkat yang diterima mengambil bayi di yayasan berkenaan, perlu melalui beberapa proses antaranya, bengkel keibubapaan angkat di mana objektifnya adalah memberi persediaan fizikal, mental dan emosi serta proses lawatan ke rumah.

"Di sini ibu bapa angkat dilatih dan diberi kursus psikologi bagaimana cara menjaga anak angkat termasuk apakah ilmu yang perlu mereka ada.

"Untuk pengetahuan, keluarga angkat di sini amat prihatin dengan ibu yang melahirkan dan mereka tidak akan memutuskan silaturahim melainkan si ibu kandung yang memaklumkan sejak awal tidak mahu bertemu langsung dengan anak yang diserahkan (bagi kes bukan dari peti perlindungan)," katanya.

Menurut Nur Azim Alia, bagi keluarga angkat yang menerima bayi dari peti pelindung, mereka sudah bersedia dengan situasi tersebut dan memahami bahawa bayi itu tiada waris serta tidak diketahui keturunannya.

Berhubung kriteria keluarga angkat, beliau berkata kriteria adalah sama seperti ditetapkan JKM, antaranya, sudah berkahwin lebih lima tahun, mempunyai rekod kesihatan berkaitan masalah kehamilan, gaji melebihi RM5,000, tiada rekod jenayah, warganegara dan tinggal di lokasi selamat.

Yayasan OrphanCare setakat ini mempunyai tiga cawangan dengan peti pelindung bayi iaitu di Petaling Jaya (Selangor), Johor Bahru (Johor) dan Sungai Petani (Kedah),

Mereka yang memerlukan maklumat lanjut mengenai khidmat Yayasan OrphanCare boleh menghubungi talian 03-77701900/010-2830528 (talian kecemasan 24 jam) atau layari laman sesawang di www.orphancare.org.my. -CARI

Sumber: Harian Metro

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote Kitty_catz 4-3-2022 02:38 PM
senang ke proses nak amek anak angkat via baby hatch ni? lama tak gendong baby
Quote manehnya 4-3-2022 03:04 PM
gaji melebihi RM5,000


ingat nk apply bantuan kerajaan saja ...nk anak angkat pun... jd kalau bawah 5k, x bleh beranak, jgn harap ada anak aaa
Quote Adrif 4-3-2022 03:04 PM
soalan. kalau nak amik anak angkat ni, bakal parents tu perlu ke buat ujian DNA kat bakal anak tu? mana la tau tengok2 genetik lebih kurang. anak sepupu ke, anak saudara bau-bau bacang ke.
soalan level sinetron sangat. tapi serius  
Quote Mulotkoyak 4-3-2022 03:10 PM
Bgus juga…kurang ckit les bunoh bayi and gugur kandungan. Aduyaii. Kesian tgk remaja skg.
Quote ~boolean 4-3-2022 03:10 PM
kagum dengan parents jaga anak angkat yang tak tahu latar belakang...respek..semoga parents sebegini sentiasa dimurahkan rezeki..
Quote annehuda 4-3-2022 03:21 PM
manehnya replied at 4-3-2022 03:04 PM
ingat nk apply bantuan kerajaan saja ...nk anak angkat pun... jd kalau bawah 5k, x bleh beranak, j ...

orang single gaji rm4k pun dah rasa perit ni plak laki bini gaji mcm tu tp gigih nak bela anak orang.
Quote annehuda 4-3-2022 03:23 PM
~boolean replied at 4-3-2022 03:10 PM
kagum dengan parents jaga anak angkat yang tak tahu latar belakang...respek..semoga parents sebegini ...

jaga anak angkat mcm ni aku rasa senang sikit, takdelah nnt dah besar dah jaga elok tetiba mak kandung nak balik. ingat tak kes anak angkat kat melaka tu, serah kat mak kandung terus mati kene dera
Quote Thunderclouds 4-3-2022 03:33 PM
Adrif replied at 4-3-2022 03:04 PM
soalan. kalau nak amik anak angkat ni, bakal parents tu perlu ke buat ujian DNA kat bakal anak tu? m ...

Kbat soklan ko dik. Alas..xpernah dgaq perlu wat ujian dna @ lukis susur galur family seblom amik anak angkat  baik kt sini or kt luar negara sana. Janji meet the requirements sajork.
Quote epullipan 4-3-2022 04:07 PM
annehuda replied at 4-3-2022 03:23 PM
jaga anak angkat mcm ni aku rasa senang sikit, takdelah nnt dah besar dah jaga elok tetiba mak kan ...

yg ni sebak & sedih betul nasib budak tu..mak btul die mmg anjirr
Quote ayukpingu 4-3-2022 04:16 PM
sebak pulak baca article ni..."bapa sempat cium berkali kali sebelum letak kat baby hatch" aku caya bukan mudah utk dia buat keputusan, semua nya bersebab
Quote gigahertz 5-3-2022 01:22 AM
Adrif replied at 4-3-2022 07:04 AM
soalan. kalau nak amik anak angkat ni, bakal parents tu perlu ke buat ujian DNA kat bakal anak tu? m ...

ok jap zoom muka u zoom muka i
u buat mata terbeliak. i buat buat mulut lopong
skrin tertera perkataan bersambung...
Quote mandear11 5-3-2022 01:55 AM
mana nak contact dorang nie...nak register ...amik anak angkat..anyone know?
Quote lurve82 5-3-2022 07:51 AM
ramai nak amik anak angkat...klu aku xblh beranak pun aku akan amik anak angkat...dlm family aku ada 2 org anak angkat...comel giler masa baby..dh besar2 pun dorg...yg sorg tu aku sempat susukan...
Quote shernazz 5-3-2022 08:00 AM
Kat kpj damansara ada baby hatch
Masa iols gi buat pcr hari tu..ada jenguk2..hahaa..
Ada.ekon.nurse tu kata
Kalau ada baby letak.je akan ada siren..
Ada la beberapa.kali..tp.jarang la..
Chinese ada la letak.situnkatanya...
Quote Nurul8001 5-3-2022 08:29 AM
manehnya replied at 4-3-2022 03:04 PM
ingat nk apply bantuan kerajaan saja ...nk anak angkat pun... jd kalau bawah 5k, x bleh beranak, j ...

Mestila ada sebab buat syarat gitu. Tak cukup duit, boleh datangkan stress. Nak jaga anak org kot.
Quote green~tea 5-3-2022 08:33 AM
Kawan iols ada amek anak angkat... lama dah... skali lepas dah setlle segala.. baru dpt tau anak tu cacat bahagian usus ke apa... now budak tu dah 12 tahun masih pakai pampers.. scary jugak.. tatau kenapa cacat camtu... nauzubillah...
Quote joboh 5-3-2022 08:37 AM
At least baby ni dah bsr nanti ada documents wpun anak angkat, family angkat pun x de lah risau status warganegara....in future documents tu semua sgt penting
Quote zehra2 5-3-2022 08:39 AM
komitmen.
tu yg susah nak bagi
jd aku pilih  bersedekah, bantu dari sudut kewangan
cukup laa anak2 kat sekolah yg dah cukup peningkan kepala

jkm pun byk jugek syarat nya..
Quote Meiizu 5-3-2022 08:53 AM
Oohh itu ke beza baby kat jkm & babyhatch..baru tau.
So kalau dpt baby hatch mudahlaa kat new parent takperlu layan drama nak anak balik

Lihat semua komen(53)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-2-2025 04:56 PM GMT+8 , Processed in 0.090385 second(s), 35 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top