Amerika Syarikat: Pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk, semalam berkata beliau sangat yakin dengan kapal angkasa SpaceX baharu yang direka untuk pengembaraan ke bulan dan Marikh akan sampai ke orbit bumi buat kali pertama tahun ini, meskipun berdepan pelbagai cabaran teknikal dan peraturan yang masih belum dapat diatasi.
Jutawan teknologi itu berkata demikian ketika bercakap kepada sekumpulan media dan penyokong di kemudahan 'Starbase' milik syarikatnya di Boca Chica, Texas pada sesi pembentangan yang menggabungkan himpunan peralatan berteknologi tinggi dengan skrin video besar dan sesi soal jawab. Ia berlaku sembilan bulan selepas usaha syarikat angkasa swasta yang berpangkalan di California itu mencapai kejayaan pertama pelancaran dan pendaratan roket prototaip Starship dalam ujian penerbangan selepas empat percubaan pendaratan sebelum berakhir dengan letupan. Musk mengakui kesukaran yang dihadapi SpaceX dalam membangunkan enjin Raptor 2 untuk dipasang pada roket Super Heavy, pelancar generasi seterusnya yang boleh diguna semula, yang direka untuk membawa kapal angkasa Starship ke orbit. Beliau merujuk masalah lebur di dalam ruang enjin akibat haba yang kuat. Namun Musk berkata, pihaknya semakin hampir untuk menyelesaikan masalah itu dan menjangkakan untuk meningkatkan pengeluaran kepada kira-kira tujuh atau lapan enjin seminggu menjelang bulan depan. Ia termasuk menghasilkan Starship baharu dan pelancar setiap bulan menjelang akhir tahun. "Saya rasa sangat yakin pada ketika ini bahawa kita akan dapat mengorbit (dengan Starship) tahun ini," kata Musk yang turut menerajui pembuatan kereta elektrik Tesla. Jangka masa yang ditetapkan itu menandakan pencapai yang bercita-cita tinggi meskipun untuk ujian penerbangan orbital tanpa penumpang membabitkan Super Heavy dan kombinasi Starship. Sebagai langkah ke hadapan, SpaceX yang kini sedang mengusahakan Falcon 9, Musk berkata, ia sudahpun berjaya melakukan 144 penerbangan dan 106 pendaratan. Masa depan kemudahan ujian penerbangan dan pengeluaran di Boca Chica berhampiran tenggara Pantai Teluk Texas kini bergantung kepada penilaian alam sekitar (EIS) membabitkan tapak yang sedang dijalankan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA). FAA dijangka membuat keputusan dalam beberapa minggu lagi sama ada pembinaan yang dirancang di kawasan itu menimbulkan kesan alam sekitar ketara termasuk kawasan rizab hidupan liar berhampiran. Ia perlu menjalani kajian yang lebih meluas sebelum memperluaskan operasi di Boca Chica sehingga ia boleh diberi lesen. Kenyataan mengenai impak alam sekitar atau semakan EIS boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan dan selalunya tertakluk kepada perundangan. - CARI Sumber: Reuters/Berita Harian
|
ADVERTISEMENT