KUALA KANGSAR - Empat pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar dilapor hilang, dikhuatiri sesat ketika menuruni Gunung Bubu di Ulu Kenas di sini, dalam kejadian petang semalam.
Mereka ialah Muhammad Putera Rafii, Adam Asraf Azman, Muhammad Amir Asyraff dan Siti Azimah Mohd Fitri yang kesemuanya berusia 17 tahun, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Ismail Darus.
"Guru pengiring membuat laporan mengenai kehilangan tersebut setelah menyedari mangsa tidak dapat dikesan sejak pukul 2.30 petang semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mereka merupakan sebahagian daripada 25 pelajar tingkatan lima kolej itu yang mengikuti program perkhemahan tiga hari dua malam di gunung berkenaan, diiringi enam guru.
Ismail berkata pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai penduduk pada 11.35 malam tadi.
Operasi bersambung semula pada 7 pagi tadi membabitkan 114 orang termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, polis dan orang awam.
Sehingga pukul 3 petang ini operasi mencari dan menyelamat masih gagal menemukan keempat-empat pelajar terbabit.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|