|
HARAPAN atlet lawan pedang negara, Natasha Ezzra Abu Bakar untuk meraih pingat emas pada Sukan Sea Singapura berkecai apabila terkandas pada peringkat suku akhir acara foil individu wanita yang berlangsung di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Sea 2011 di Palembang, Indonesia itu tewas kepada atlet Singapura, Wenying Wang dengan mata 14-15.
Natasha Ezzra, 24, berkata beliau memohon maaf kerana gagal merealisasikan harapan yang diletakkan kontinjen negara kepadanya.
"Hari ini bukan rezeki saya walaupun saya berusaha mengejar mata setelah ketinggalan 6-9.
"Saya bekerja keras untuk mencari mata kemenangan pada minit terakhir perlawanan, namun nasib tidak berpihak kepada saya hari ini," katanya kepada pemberita hari ini.
Atlet berasal dari Johor itu berkata, tumpuan beliau selepas ini adalah untuk membantu pasukan meraih pingat tanpa mengira warna dalam acara foil berpasukan wanita yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
"Saya harap mampu melakukan sesuatu bagi membantu pasukan," katanya.
Selain Natasha Ezzra, tiga lagi atlet negara yang beraksi dalam acara foil berpasukan wanita ialah Shaidatul Shafiqah Ab Hamid, Ivy Cheah Hsiao Yong dan Fong Tyanne. - Bernama
|
|