View: 1265|Reply: 0
|
Perhebat gilap bakat baharu takraw
[Copy link]
|
|
MENYEDARI sukan sepak takraw semakin ketinggalan terutamanya di belakang musuh tradisi, Thailand dan peningkatan mendadak Korea Selatan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mewujudkan sebuah rangka tindakan khusus dalam tempoh terdekat bagi memperhebatkan lagi pembangunan sukan berkenaan di peringkat akar umbi.
Rangka tindakan tersebut akan digubal mengikut acuan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dan semua pihak berkepentingan seperti Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan akan duduk semeja bagi memastikan pembabitan lebih banyak pemain berbakat dalam sukan berkenaan.
Pelan menyerupai pembangunan bola sepak
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sukan sepak takraw akan mempunyai pelan pembangunannya sendiri menyerupai rancangan pembangunan bola sepak negara.
“Ia seperti pelan pembangunan bola sepak yang mana beberapa elemen ditekankan seperti bakat baharu yang harus dimulakan daripada peringkat akar umbi, aspek kejurulatihan dan kejohanan domestik melibatkan setiap daerah ataupun negeri.
“Secara jujur, ini adalah sukan warisan negara yang mana saya rasa bersalah jika tiada apa-apa pelan pembangunan terhadap sukan ini kerana ia mencerminkan budaya dan maruah negara.
“Justeru, saya merasakan perlu ada usaha untuk mengembalikan kegemilangannya,” katanya selepas menghadiri Bengkel Pembangunan Sepak Takraw Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Korea Selatan cipta jurang
Katanya, kem sepak takraw negara perlu bangkit serta menyedari bahawa mereka ketinggalan agak jauh terutamanya di belakang musuh tradisi, Thailand malah Korea Selatan juga sudah mula mencipta jurang besar dengan pasukan kebangsaan.
“Ini adalah sukan warisan negara, namun kita kini sudah ketinggalan dengan dua negara yang semakin mencuri perhatian dalam sukan sepak takraw.
“Pastinya ia bakal menjadi tugas berat kepada pemain senior untuk mengembalikan kegemilangannya terutamanya akan beraksi di tempat sendiri di Sukan Sea 2017 nanti,” katanya.
Yakin martabatkan takraw
Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail menyifatkan pelan tindakan itu penting dalam memartabatkan semula kegemilangan sukan tradisional negara itu.
“Dengan adanya pelan ini, ia sudah tentunya dapat melonjakkan sukan sepak takraw itu ke kegemilangan yang pernah dicapai sebelum ini. Kita sudah ada rangka ke arah pembentukan rangka tindakan itu dan ia akan mengambil tempoh terdekat sebelum dapat disiapkan,” katanya.
sumber:sinar harian
|
|
|
|
|
|
|
| |
|