CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8038|Reply: 5

Page Panggilan Pertiwi

[Copy link]
Post time 19-4-2014 03:07 PM | Show all posts |Read mode
Menyuburkan jiwa patriotik
SEBAHAGIAN daripada buku-buku mengenai ketenteraan milik  Mohd. Ridhuan yang kerap diulang baca pada masa lapang.


HELAIAN muka surat buku Kanang: Kisah Seorang Pahlawan yang baru dibelinya  selepas pulang dari sekolah diselak perlahan-lahan, manakala matanya pula  tertancap pada baris-baris ayat yang tertulis.
Buku biografi tulisan Mejar (B) Maznan Noordin itu mengisahkan sejarah hidup  pahlawan negara, mendiang Pegawai Waran 1 (B) Kanang Langkau menentang pengganas  komunis semasa era Insurgensi.
Dengan gaya bahasa yang mudah dan ringkas, penceritaan Maznan, bekas pegawai  perhubungan awam Tentera Darat itu cukup terkesan pada jiwa Mohd. Ridhuan  Abdullah, yang ketika itu berusia 13 tahun.
Keberanian Kanang bertempur dengan pengganas komunis sehingga cedera parah  setelah ditembusi peluru musuh cukup dikagumi.
Dia ingin menjadi seperti Kanang suatu hari nanti dan pada masa sama  mencetuskan minatnya terhadap bahan bacaan bercorak ketenteraan.
Kanang yang diangkat sebagai wira negara merupakan satu-satunya penerima dua  pingat keberanian tertinggi kerajaan Persekutuan iaitu Seri Pahlawan Gagah  Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) kerana keberaniannya.
Bekas Pegawai Waren 1 berketurunan Iban ini terlibat dalam dua pertempuran  dengan pengganas komunis iaitu dalam Gerakan Setia 1979 di kawasan Hutan Korbu  dan Gerakan Khas Setia 1980 di Tanah Hitam, kedua-duanya di Perak.
MOHD. RIDHUAN


Kanang yang kemudian dianuerahkan gelaran Datuk Temenggong oleh kerajaan  Sarawak meninggal dunia pada 3 Januari tahun lalu akibat serangan jantung pada  usia 68 tahun.
Buku biografi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun  1987 itu telah menemui kira-kira setengah juta pembaca dan menjadi buku terlaris  ketika itu.
Kini, Mohd. Ridhuan, 39, yang merupakan pakar teknologi maklumat di sebuah  firma swasta di ibu negara masih menebal dengan minatnya membaca buku-buku  ketenteraan.
Tahu sejarah
Tidak kurang 150 buku pelbagai judul mula dikumpul sejak 17 tahun lalu,  terutamanya bercorak sejarah menghiasi rak buku yang disimpan rapi di dalam  sebuah bilik khas di rumahnya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
"Buku kedua saya juga karya Maznan berjudul Gonzales : Kenang-kenangan  Seorang Jeneral yang mengisahkan biografi bekas Panglima Angkatan Tentera  Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Seth.
"Saya amat menggemari buku-buku sejarah ketenteraan sama ada era Perang Dunia  Pertama, Perang Dunia Kedua sehinggalah konflik antarabangsa selain biografi  pemimpin-pemimpin tentera tersohor.
"Ia bukan sekadar kerana minat, tetapi banyak perkara yang boleh diketahui  serta dipelajari menerusi sejarah peperangan, misalnya mengenai tamadun  manusia.
"Percaturan strategi-strategi perang oleh jeneral terhebat juga boleh  disesuaikan dengan keadaan semasa misalnya perniagaan atau menjadi sumber  motivasi," ujarnya yang menilaikan koleksi buku-bukunya mencecah RM11,000.
Ada antara buku-buku ini dibeli secara atas talian menerusi laman web luar  negara selain di karnival buku.
Perkembangan teknologi komunikasi semasa turut menyaksikan Ridhuan menjadikan  laman sesawang berita, portal dan blog sebagai pelengkap menambahkan  pembacaanya.
Akuinya, portal berita berbahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang  dikendalikan oleh blogger-blogger bebas ini pantas memaparkan maklumat-maklumat  terkini berhubung hal ehwal ATM atau pertahanan serantau.
Terdapat kira-kira 12 laman portal berkaitan pertahanan di negara ini  antaranya ialah Military of Malaysia, Malaysia Military Power, Malaysian  Defence, Askar Setia dan Bekas Komando.
Namun begitu, minatnya membaca, membeli dan mengumpul buku-buku pertahanan  tidak padam demi kepuasan tersendiri.

KANANG menunjukkan parut ditembak musuh.


Menabung gaji
Turut berkongsi minat yang sama ialah dua rakannya, Abdul Aziz Abas, 40, dan  Ibrahim Azhar Ab. Wahab, 31.
Abdul Aziz misalnya, menyimpan 140 buku ketenteraan terutamanya mengenai  pesawat udara dan teknologi aeroangkasa, manakala 120 buku teknologi pertahanan  serta persenjataan dimiliki Ibrahim.
Koleksi ini tidak termasuk majalah dan jurnal ketenteraan yang dibeli setiap  bulan.
"Setiap buku berharga antara RM70 hingga RM200. Jika dihitung semuanya  koleksi buku-buku yang dikumpul sejak 15 tahun lalu mencecah kira-kira  RM14,000," ujar Abdul Aziz yang berasal dari Ipoh, Perak.
Pegawai keselamatan pembinaan sebuah syarikat swasta ini turut mengakui minat  membaca buku-buku ketenteraan itu menjadikan dirinya lebih peka terhadap isu  keselamatan dan pertahanan serantau.
Beliau yang pernah bercita-cita menjadi anggota tentera menyifatkan  pengorbanan pasukan keselamatan mempertaruhkan nyawa menjaga kedaulatan negara  amat besar dan tidak ternilai.
"Buku paling mahal dibeli ialah Jane's All the World's Aircraft berharga  kira-kira RM2,600 dalam talian beberapa tahun lalu.
"Saya menyimpan sedikit wang gaji untuk membeli bahan-bahan bacaan ini, dan  kini minat yang sama turut dikongsi bersama keluarga sebagai menambah  pengetahuan am mereka.
"Membaca buku-buku pesawat perang mendedahkan kita dengan teknologi  aeroangkasa yang berkembang pantas.
"Penguasaan teknologi menjadikan sesebuah negara itu kuat untuk digeruni  musuh berbanding negara yang lemah kuasa tenteranya," ujar beliau yang mencari  buku kegemarannya di beberapa kedai buku terpakai sekitar Ipoh, Perak.

PERANG Vietnam mengorbankan 58,000 tentera Amerika Syarikat  manakala 2,000 orang lagi hilang.


Berbeza dengan dua rakannya, Ibrahim Azhar yang merupakan penjawat awam di  Putrajaya pula adalah bekas pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes)  di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Semasa bersekolah dahulu, beliau pernah menyembunyikan novel Kanang : Kisah  Seorang Pahlawan agar tidak ditemui pelajar lain di perpustakaan sekolah  semata-mata ingin meminjam buku tersebut.
"Saya menggemari buku-buku tentang taktik peperangan, ensiklopedia  persenjataan termasuklah novel berlatarkan ketenteraan.
"Sebelum ini kebanyakan bahan bacaan terhad kepada buku terbitan luar negara,  tetapi sejak kebelakangan ini ada penerbit tempatan tampil dengan karya  sedemikian khususnya buku bercorak biografi.
"Antaranya buku Jottings X-Nuri Pilot oleh Mejar (B) Nor Ibrahim Sulaiman;  Den Komando : Menjunjung Bere Hijau tulisan Mejar (B) Nazar Talib dan Komando 69  karya Muhammad Fuad Mat Noor," katanya. Beliau berpendapat, perlu lebih banyak  penerbitan seumpamanya yang wajib dimiliki perpustakaan sekolah di bandar dan  desa untuk memupuk semangat patriotik seawal usia kanak-kanak.
Malangnya, atas faktor perniagaan penerbit tempatan lebih gemar menerbitkan  buku-buku yang boleh jual laris seperti novel cinta dan cerita-cerita remeh.
Apa yang menarik, Mohd. Ridhuan, Abdul Aziz dan Ibrahim mula bersahabat sejak  sembilan tahun lalu sebagai rakan maya menerusi laman sosial Facebook dan sering  berbincang mengenai hal ehwal pertahanan serantau.
Sejak itu, mereka bersama beberapa rakan lain menubuhkan sebuah laman sembang  pertahanan tempatan dikenali sebagai Panggilan Pertiwi dengan kira-kira 120 ahli  yang semuanya berkongsi minat serupa.
Bermula sebagai sebuah laman sembang, Panggilan Pertiwi kemudian didaftarkan  sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Oktober 2012 dan menjadi  satu-satunya NGO berkaitan pertahanan di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2zJVWg5kk
Hakcipta terpelihara
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-4-2014 03:08 PM | Show all posts
Hubungan erat media, Tentera Darat





Oleh ZAKI SALLEH



PETUGAS media cetak dan elektronik dapat melihat sendiri kemahiran anggota Tentera Darat semasa beroperasi di medan.

--------------------------------------------------------------------------------



DALAM kalangan warga Tentera Darat (TD), Lapang Sasar Sungai Menyala Port Dickson, Negeri Sembilan meninggalkan kenangan pahit mahupun manis terutama semasa bergelar rekrut.

Di sinilah buat pertama kali kemahiran asas para rekrut iaitu menembak diuji dan diasah sepanjang enam bulan mengikuti latihan di Pusat Latihan Asas Perajurit (Pusasda) sehingga mahir.

Justeru, pemilihan lapang sasar tersebut sebagai lokasi program Hari Media Bersama Tentera Darat baru-baru ini mempunyai singnifikan tersendiri.

Program berkenaan dikelolakan oleh Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (Tradoc) dengan kerjasama Sel Perhubungan Raya TD melibatkan seramai 81 petugas media cetak dan elektronik.

Selaku tuan rumah, Panglima Latihan TD, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki menyambut ketibaan para media kira-kira pukul 9 pagi diikuti penerangan ringkas aktiviti program sehari itu.

Acara pertama bermula selepas sarapan iaitu menembak menggunakan raifal M4 Carbine. Terlebih dulu, para media yang dibahagikan kepada 20 kumpulan ditunjukkan cara-cara pengendaliannya.

Bagi pengamal media yang pertama kali berpeluang menembak senjata api perasaan teruja sukar disembunyikan.

Program yang berlangsung dalam suasana santai itu diselangselikan dengan beberapa demonstrasi kemahiran pasukan di bawah pemerintahan Tradoc.

Antaranya, Institut Kejuruteraan TD (Ijed), Institut Kejuruteraan Komunikasi dan Elektronik TD (Iked), Pusat Latihan Artileri (Pusarti), Pusat Latihan Kor Polis Tentera (Pulapot) serta Pusat Latihan Kor Perkhidmatan (Pulmat).

Pengamal media dipertontonkan dengan kepakaran Tim Pembaikan Hadapan (FRT) dari Ijed membaik pulih kenderaan di medan tempur, manakala Iked pula mempamerkan tatacara perhubungan radio TD.


PENGAMAL media menguji kemahiran menembak menggunakan raifal M4 Carbine.

--------------------------------------------------------------------------------


Tangkas

Kecekapan anggota membuka dan memasang meriam Pack Howitzer L5/105 untuk diatur gerak melepasi halangan pula ditunjukkan oleh para pelatih dari Pusarti.

Meriam kompak buatan Itali yang boleh menembak ke sasaran sejauh 10 kilometer (km) digunakan TD sejak tahun 1960-an ini merupakan tulang belakang bagi memberikan tembakan bantuan termasuk semasa Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah tahun lalu.

Tidak kurang hebatnya ialah demontrasi menumpaskan enam penjenayah menerusi seni mempertahankan diri tempur tanpa senjata (TTS) oleh anggota Polis Tentera Tentera Diraja (KPTD) dari Pulapot yang cukup mendebarkan.

TTS adalah kemahiran wajib pegawai dan anggota KPTD yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan disiplin dalam kalangan TD.

Kemuncak program ini ialah acara menembak jatuh piring novelti yang menggabungkan pegawai-pegawai kanan TD bersama pengamal media.

Selain Panglima TD, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, acara disertai Timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima Medan TD, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Gelaran juara milik kumpulan Rejimen Sarjan Mejar TD diketuai Pegawai Waren I Musa Haron setelah menjatuhkan kesemua piring dalam tempoh masa paling singkat.

Sepanjang program ini, para pengamal media dijamu masakan yang cukup membuka selera hasil air tangan penuntut-penuntut Kursus Pramusaji Pulmat menggunakan dapur medan selain dihiburkan persembahan akuistik Kugiran Pulmat.

Kerjasama

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, program tersebut mencapai matlamatnya untuk mendedahkan petugas media terhadap fungsi dan peranan TD.

Jelas beliau, media mempunyai peranan besar dalam memastikan ketepatan laporan mengenai TD.

Katanya, media arus perdana harus memainkan peranan dalam memperbetulkan apa jua pemikiran negatif masyarakat yang cuba disemai menerusi maklumat mengelirukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Maklumat yang benar dan tepat perlu disebar luas kepada masyarakat umum dan kedua-duanya, hasil penulisan serta paparan berita ini dapat memberi suntikan semangat serta moral warga TD,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/co ... 1.htm#ixzz2zJViP75j
Hakcipta terpelihara Last edited by yipun_78 on 19-4-2014 03:09 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-4-2014 03:13 PM | Show all posts
www.panggilanpertiwi.my

oso leh join forum mereka, updated tip top event bersama ATM
Reply

Use magic Report

Post time 19-4-2014 05:56 PM | Show all posts
mcm harun aziz je
Reply

Use magic Report

Post time 19-4-2014 05:56 PM | Show all posts
yipun_78 posted on 19-4-2014 03:13 PM
www.panggilanpertiwi.my

oso leh join forum mereka, updated tip top event bersama ATM

boleh la aku multinick kat situ
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2014 06:36 AM | Show all posts
ko jgn buat hal kat situ ye, mereka serius dgn page mereka...
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

16-4-2024 09:09 PM GMT+8 , Processed in 0.837966 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list