Post Last Edit by achik2009 at 11-11-2011 19:30
Dira & Helmi Sah Bergelar Suami Isteri
11 Nov 2011, 04:27pm | Nani
Tanggal 11.11.11 menjadi hari bersejarah dan terindah buat pelakon serta pengacara, Dira Abu Zahar apabila beliau sah bergelar isteri kepada pengarah fotografi, Helmi Yusof. Hubungan cinta yang terjalin ketika di produksi filem, ‘Untuk Tiga Hari’ itu akhirnya menyatukan mereka ke jinjang pelamin apabila pasangan ini sah bergelar suami isteri dengan tiga kali lafaz.
Pasangan ini dinikahkan oleh Imam 1 Masjid Kampung Merlimau, Haji Md Yamin Bin Long dalam satu upacara akad nikah yang berlangsung di kediaman keluarga Dira di Merlimau, Melaka selepas solat Jumaat tadi sekitar pukul 4.15 petang.
Dira menerima sembilan dulang hantaran berupa mas kahwin berjumlah RM 7777 serta cincin, wang hantaran RM 17171.71, iPad 2, helmet X-Lite, wangian Lacoste, telekung dan baju persalinan, sireh junjung, kek serta coklat Patchi.
Manakala Helmi menerima sebelas dulang hantaran dari pihak perempuan berupa jam tangan Tag Heuer, MacBook Air, kasut Hugo Boss, baju Armani, wangian, sireh junjung, al-Quran serta sejadah, kek, coklat, helmet X-Lite dan kurma.
“Syukur, Alhamdulillah, saya diberi peluang sekali lagi untuk mendirikan rumahtangga. Saya teruja serta gembira sangat dengan perkahwinan ini dan berharap semuanya akan okay selepas ini. Sebenarnya saya berdebar kerana pada mulanya saya rancang nak buat akad nikah secara kecilan dan sederhana saja, maklumlah ini perkahwinan kedua saya, jadi seganlah.
“Namun, keluarga saya nak buat secara meriah, jadi saya terima sajalah. Apa yang penting, anak saya, Tengku Anggun Deandra ada sebagai penyeri keadaan,” ujar Dira yang anggun mengenakan persalinan dari pereka tempatan, Anizam Yusof serta solekan dari Zam Lancome.
Apabila ditanya mengenai simbolik nombor 7 dalam wang hantaran dan mas kahwinnya, Dira memberitahu, “Nombor 7 merupakan nombor kesukaan kami berdua. Nombor plat kereta dan telefon bimbit saya pun ada nombor 7. Kami berdua sukakannya dan saya percaya yang nombor tujuh ini nombor bertuah kami.”
Menyentuh mengenai penerimaan anaknya terhadap Helmi, Dira memberitahu, “Walaupun berusia 4 tahun, namun dia faham. Saya jelas dan terus-terang kepada dia mengenai perkahwinan ini. Bila saya cakap dengan dia saya nak kahwin, dia okay dan gembira.
“Helmi juga menerima Anggun seadanya. Dia seorang yang baik hati. Saya suka dengan personaliti Helmi yang kuat di mana dia sangat tahu apa yang dia nak. Dia juga pandai mengawal saya dengan cara yang baik. Apa yang penting, dia boleh sayang dan jaga anak saya dengan baik. Itu yang membuatkan saya gembira.”
Selepas akad nikah, pasangan ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi pada sebelah malamnya, manakala resepsi lelaki akan diadakan di Lanai@Matic, Jalan Ampang pada 13 November ini. Walaupun sibuk dengan majlis perkahwinan, Dira tetap komited menjalankan tugasnya sebagai pengacara.
“Saya tetap akan bersiaran secara langsung di Melodi pada hari Ahad ini walaupun pada sebelah malamnya adalah majlis resepsi kami. Walaupun keluarga bising mengenai perkara ini, tapi saya okay sebab bagi saya, tanggungjawab tetap harus dilaksanakan. Lagipun, jika fikir pasal majlis, nanti saya pening, jadi baik saya buat kerja saya.”
Tahniah diucapkan kepada Dira dan Helmi! Semoga perkahwinan ini kekal bahagia hingga ke akhir hayat!
Credits: gua.com.my |