Acosta raih petak utama selepas 588 hari
REUTERS - Mei 16, 2026 @ 6:23pm

Pedro Acosta dalam sesi kelayakan di GP Catalunya. Foto: AFP
BARCELONA: Pelumba muda sensasi KTM, Pedro Acosta menamatkan penantian panjang selama 588 hari untuk kembali meraih petak utama apabila muncul terpantas dalam sesi kelayakan Grand Prix (GP) Catalunya, hari ini.
Pelumba Sepanyol berusia 21 tahun itu menceriakan penyokong tuan rumah menerusi catatan satu minit 38.068 saat (s), sekali gus menghadiahkannya petak utama kedua dalam karier MotoGP dan yang pertama sejak GP Jepun 2024.
"Saya amat gembira. Jentera tampak cukup serasi dengan keadaan litar dan cuaca, namun masih ada beberapa perkara yang perlu diperiksa," kata Acosta.
Acosta akan memulakan perlumbaan di barisan hadapan bersama pelumba VR46 Racing, Franco Morbidelli serta wakil Gresini Racing, Alex Marquez.
Barisan kedua pula dibarisi Raul Fernandez dari Trackhouse; pelumba LCR Honda, Johann Zarco dan seorang lagi wakil VR46 Racing, Fabio Di Giannantonio.
Namun, aksi kelayakan itu bertukar mimpi buruk buat pasukan Aprilia Racing apabila dua pencabar utama kejuaraan, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi gagal menyerlah selepas terbabit kemalangan.
Martin, yang hadir dengan keyakinan tinggi selepas meraih kemenangan berganda perlumbaan pecut di Le Mans minggu lalu, terpaksa melalui sesi kelayakan pertama sebelum sekali lagi terbabas, insiden ketiganya hujung minggu ini.
Walaupun berjaya mara ke Q2 bersama Morbidelli, pelumba Sepanyol itu gagal memperbaiki catatan masa dan akan memulakan perlumbaan dari petak kesembilan.
Bezzecchi pula mengalami nasib lebih malang apabila terjatuh ke kawasan 'gravel' pada penghujung sesi kelayakan.
Pendahulu kejuaraan dunia itu, yang hanya memiliki kelebihan satu mata ke atas Martin, bakal bermula di petak ke-12.
Turut bergelut ialah juara dunia dua kali Ducati, Francesco Bagnaia, yang gagal mara ke Q2 dan sekadar memulakan perlumbaan di petak ke-13.
Sementara itu, juara bertahan, Marc Marquez, tidak mengambil bahagian pada Grand Prix kali ini selepas menjalani pembedahan susulan kemalangan di Le Mans.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/05/1557458/acosta-raih-petak-utama-selepas-588-hari
|