PERNAH mencipta fenomena tersendiri sekitar 1980-an dengan deretan filem menggunakan namanya sebagai judul, aktor merangkap pengarah, AR Badul hakikatnya menceburi arena seni agak lewat iaitu pada usia 29 tahun.
Status sebagai anak kepada seniman terkenal ketika itu, AR Tompel bukanlah ‘tiket emas’ untuk menonjolkan kebolehan terutama sebagai pelawak.
Ketegasan bapanya selain jarak memisahkan mereka membuatkan pemilik nama sebenar Armaya Aman Ramlie itu nekad mencari jalan sendiri untuk berjaya dengan melakukan pelbagai pekerjaan rencam.
Mengakui meninggalkan alam persekolahan seawal umur belasan tahun, antara pekerjaan dilakukan termasuk bekerja kampung, jaga tapak pesta funfair, menebas dan turun ke laut menangkap ikan.
“Sewaktu bapa saya pindah Kuala Lumpur saya tak ikut, tunggal dengan emak angkat di Parit Jawa Muar. Emak angkat saya adalah ibu kepada pelakon Mat Sentul sebab bapa minta keluarga kawan baiknya jaga saya.
“Lama juga saya tinggal dengan mereka tapi waktu itu saya masih sekolah menengah, Mat Sentul pun sudah dewasa dan tiada di sana. Terjadi satu peristiwa yang buatkan saya enggan ke sekolah sebab kasut sekolah terbakar atas kesilapan sendiri.
“Terus saya nekad cari kerja. Iyalah remaja, semangat membuak-buak. Macam-macam saya buat tapi tak lama kemudian bapa bawa saya tinggal di rumahnya di Gombak. Cuma saya terus buat kerja rencam. Bapa bukan jenis senang-senang ‘tarik’ anak berlakon,” kongsinya kepada HibGlam.
Kongsinya, ketika di Gombak dia mengenali keluarga Kasma Booty yang tinggal berhampiran sekali gus belajar bermain dram dengan mereka. “Dari situ saya juga kenal R Jaafar yang hampir 20 tahun lebih senior. Kami jadi rapat dan saya ikut dia dengan pasukannya ke merata tempat bermain panggung kecil. Banyak tempat kami pergi sampai ke Indonesia. Kadangkala saya jadi penari, pak pacak dan melawak.
“Cuma kiranya peranan utama memang R Jaafar dan bintang senior lain termasuk Yahya Sulung. Sampailah beberapa tahun kemudian kami berdua memenangi Pertandingan Bakat TV 1975 anjuran RTM.
“Dari situ nama kami berdua dikenali malah kami dapat muncul dalam program 100 episod dan terbuka juga rezeki saya untuk tampil di layar perak.
“Itu pun saya dapat tawaran selepas beberapa tahun bapa meninggal dunia,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE