Kuala Lumpur: Pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Manuel Hidalgo dilihat berpotensi muncul sebagai nadi baharu Harimau Malaya sekiranya proses naturalisasinya dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Nama pemain kelahiran Argentina itu kini hangat diperkatakan susulan dakwaan dia bersama rakan sepasukan, Bergson da Silva bakal memperoleh status pemain tempatan selepas memenuhi tempoh bermastautin di Malaysia.
Menurut jurulatih berpengalaman tempatan, Sulaiman Hussin, kehadiran Hidalgo mampu memberikan dimensi berbeza kepada skuad negara, terutama dari segi kreativiti dan pergerakan di bahagian serangan.
Jelas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur itu lagi, pemain berusia 27 tahun itu memiliki kelebihan tersendiri yang jarang dilihat dalam kalangan pemain naturalisasi sebelum ini, khususnya dari segi intensiti permainan dan kebolehan mencipta peluang.
"Hidalgo ada gaya permainan yang lebih dinamik dan itu boleh bantu tambah variasi dalam serangan Harimau Malaya.
Dia bukan sekadar pemain biasa, ada sentuhan individu yang boleh ubah permainan," katanya.
Bagaimanapun, Sulaiman menegaskan bahawa cabaran utama buat Hidalgo bukanlah dari segi kualiti, sebaliknya keupayaan untuk segera menyesuaikan diri dengan sistem dan intensiti permainan skuad kebangsaan.
Katanya, persekitaran di JDT yang dihuni pemain berkualiti tinggi sedikit sebanyak memudahkan tugas Hidalgo, namun situasi berbeza apabila menyarung jersi negara.
"Di JDT, dia bermain dalam pasukan yang sudah mantap.
Dalam skuad kebangsaan, dia perlu cepat faham corak permainan dan bina keserasian dengan pemain lain.
Kalau dapat sokongan, saya percaya dia boleh beri impak besar," katanya yang pernah melatih beberapa pasukan Liga Malaysia.
Sebelum ini, Hidalgo pernah menyuarakan keterujaannya untuk melengkapkan proses naturalisasi seawal Mei, sekali gus membuka peluang menyarung jersi Harimau Malaya.
Untuk rekod, karier Hidalgo di Malaysia bermula bersama Sri Pahang pada 2021 sebelum dia mengembara ke Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur City, sebelum akhirnya menyertai JDT.
Selain Hidalgo dan Bergson, dua lagi pemain import yang turut disebut-sebut berpotensi mengikut jejak langkah sama tahun ini ialah pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco serta tonggak tengah Selangor FC, Alex Agyarkwa.