|
View: 334|Reply: 0
|
Kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang : Selepas 6 tahun bicara, mahkamah benar pertuduhan Lim Guan Eng dipinda
[Copy link]
|
|
|
KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun pendakwaan, Mahkamah Sesyen membenarkan pindaan dilakukan terhadap salah satu daripada empat pertuduhan yang dihadapi Lim Guan Eng dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk meminda pertuduhan pertama dengan mengeluarkan perkataan `menerima’.
Pertuduhan pindaan itu kemudian dibacakan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan beliau mengaku tidak bersalah.
Ketika menyampaikan keputusannya, Azura berpuas hati pindaan tersebut perlu bagi memastikan pertuduhan itu selaras dengan peruntukan undang undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau berkata, walaupun pindaan tersebut hanya dikemukakan pada peringkat akhir kes pendakwaan, mahkamah berpandangan perkara tersebut tidak akan memprejudiskan dan mendatangkan sebarang ketidakadilan terhadap tertuduh.
“Pihak-pihak mempunyai hak di bawah Seksyen 162 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memohon memanggil semula mana-mana saksi yang wajar berikutan pindaan tersebut,” ujarnya.
Pada prosiding lalu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa Seksyen 23 tidak mensyaratkan elemen `menerima’ atau `meminta’, sebaliknya tertumpu kepada tujuan suapan.
“Jumlah RM3.3 juta itu tetap kekal dalam pertuduhan dan tidak memprejudiskan tertuduh. Pembelaan tertuduh tetap sama bahawa beliau tidak pernah menerima wang berkenaan,” ujarnya.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh pihak pembelaan atas alasan perkataan `menerima’ yang dipohon untuk digugurkan itu merupakan komponen penting dalam pertuduhan asal dan telah menjadi asas kepada keseluruhan pembelaan sepanjang perbicaraan.
Prosiding kemudian bersambung dengan mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-38, pegawai penyiasat, Penguasa Kanan SPRM, Zulhilmi Ramli.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri berkenaan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama, yang didakwa berlaku berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Sumber – MalaysiaGazette |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|