Lelaki Bangladesh guna Mykad orang lain pakai Budi95 didenda RM10,000 Md Jakir ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini.KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan Mykad milik orang lain bagi pembelian petrol Budi95.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Md Jakir Hossain, 50, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Sekiranya gagal membayar jumlah denda itu tertuduh boleh dikenakan penjara selama 14 bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Md Jakir yang bekerja sebagai pembantu stesen minyak didapati memiliki dan menggunakan dua kad pengenalan milik warga tempatan masing-masing lelaki dan wanita berusia 25 dan 31 tahun yang bukan kepunyaan tertuduh bagi tujuan pembelian petrol bersubsidi.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang di sini antara 8 Februari dan 22 April lalu yang didakwa dibawah peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Justeru hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara boleh sampai tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu peguam Low Carmen yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda dengan alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.
Tertuduh bekerja sebagai pembantu di sebuah stesen minyak dan mempunyai penyakit jantung,” kata peguam itu. Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana dalam kes ini kedua-dua mangsa telah mengalami kerugian.
“Tertuduh mempunyai pilihan untuk memulangkan Mykad tapi tertuduh membeli petrol walaupun dia tahu itu bukan miliknya,” kata Hench Goh.
Berdasarkan kes, pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 31 tahun menyatakan pada 22 April lalu beliau mendapati baki subsidi Budi95 berkurangan daripada 94.937 liter kepada 44.637 liter.
Pengadu mengesyaki kad pengenalannya telah digunakan tanpa izin untuk mengisi minyak menggunakan subsidi tersebut. Setelah menghubungi Budi Madani Contact Centre, mangsa dimaklumkan tentang transaksi yang berlaku di sebuah stesen minyak dengan lima transaksi yang mencurigakan. – KOSMO! ONLINE
|