|
|
Edited by akuMNdia at 5-5-2026 10:11 AM
 
GAMBAR fail, Rosmaini ketika hadir di mahkamah di Johor Bahru, pada 4 November lalu atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Jahidah. FOTO NSTP
Putrajaya: Bekas suami Jahidah Nordin@Sylvester, Rosmaini Abdul Raof dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap wanita itu, lima tahun lalu.
Hukuman maksimum itu dikenakan terhadap Rosmaini, 43, selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Panel itu yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah dan dianggotai Datuk Noorin Badaruddin serta Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi kepada mangsa sebanyak RM25,000 (penjara enam bulan jika gagal bayar).
Mahkamah memerintahkan hukuman berkenaan berkuat kuasa hari ini.
Pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir diputuskan.
Rosmaini sempat dipenjarakan 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah Nordin @ Sylvester, 46, yang ketika itu hamil 10 minggu, dengan memukul kepala, muka dan tangan mangsa serta menendangnya.
Kejadian di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru, pada jam 6 pagi, 4 Mei tahun yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang membolehkan hukuman penjara dua kali ganda daripada tempoh maksimum.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|