Malaysia kandas suku akhir, kemarau Piala Thomas berpanjangan
Oleh Alief Iqbal Saidin - Mei 1, 2026 @ 7:05pm

Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas di tangan Liang Wei Keng-Wang Chang 22-24, 14-21. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Impian skuad badminton negara menamatkan kemarau 34 tahun untuk menjulang Piala Thomas terus tertangguh apabila tewas 3-0 kepada China dalam aksi suku akhir di Forum Horsens, Denmark, sebentar tadi.
Perseorangan utama negara, Leong Jun Hao membuka tirai dengan tentangan sengit sebelum tewas kepada pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi 21-10, 16-21, 21-9 dalam tempoh 66 minit.
Jun Hao bangkit memenangi set kedua selepas tewas set pertama, namun gagal mengekalkan momentum dalam set penentuan.
"Saya rasa selepas tewas set pertama, saya cuba kekal positif dan paksa diri saya mata demi mata hingga ke tahap maksimum untuk cuba ambil satu set," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bagaimanapun, dia mengakui permulaan kurang baik dalam set ketiga memberi kelebihan kepada lawan.
"Permulaan set ketiga tidak begitu baik… mungkin ada beberapa mata saya terlalu terburu-buru," katanya.
China menggandakan kelebihan menerusi acara beregu apabila pasangan nombor lima dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang menewaskan gandingan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik 24-22, 21-14.
Aaron mengakui kegagalan mengawal mata penting menjadi punca kekalahan selepas aksi sengit dalam set pertama.
"Kami cuba bermain lebih menyerang, tetapi kurang konsisten.
Pada mata penting, kami lakukan beberapa kesilapan dan mereka mengawal permainan dengan baik," katanya.
Tambahnya, kelebihan lawan di bahagian jaring turut menyukarkan mereka untuk mengimbangi rentak permainan.
"Kami cuba ikut rentak mereka, tetapi mereka lebih menguasai bahagian hadapan dan mendapat banyak mata dari situ," katanya.
Kekalahan Malaysia disahkan dalam perlawanan ketiga apabila Justin Hoh tewas kepada pemain ranking ketujuh dunia, Li Shi Feng 21-14, 21-13.
Walaupun Justin memberikan saingan, pengalaman dan kualiti lawan jelas menjadi pemisah dalam perlawanan berkenaan.
Keputusan itu menyaksikan perjalanan Malaysia terhenti di suku akhir, sekali gus gagal mengakhiri penantian panjang sejak kali terakhir menjulang trofi pada 1992.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/05/1540839/malaysia-kandas-suku-akhir-kemarau-piala-thomas-berpanjangan
|