Piala Thomas: Perancis cipta kejutan besar singkir Indonesia
April 29, 2026 @ 10:10am

Pemain dan pegawai pasukan Perancis meraikan kemenangan bersejarah mengejutkan Indonesia 4-1 pada peringkat kumpulan Piala Thomas di Horsens, Denmark, awal pagi tadi. – Foto BWF
KUALA LUMPUR: Perancis mencipta kejutan besar apabila menyingkirkan juara Piala Thomas 14 kali, Indonesia dengan kemenangan 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan D di Horsens, Denmark, awal pagi tadi.
Perancis yang memerlukan keputusan positif untuk kekal dalam saingan tampil penuh keyakinan sekali gus melakar antara kejutan terbesar kejohanan dengan menyingkirkan salah satu kuasa besar badminton dunia.
Perancis menamatkan saingan di tangga kedua kumpulan di belakang Thailand yang membelasah Algeria 5-0.
"Kami amat bangga," kata pemain Perancis, Toma Junior Popov.
"Eloi Adam dan Leo Rossi menunjukkan mereka mampu melakukan perkara luar biasa.
Mereka juga pernah meraih perak Kejohanan Eropah, jadi mungkin itu sebab mereka diturunkan dalam beregu lelaki.
"Saya rasa kami melaksanakan tugas dengan baik dan membuktikannya. Tahniah kepada mereka dan semua pemain perseorangan lelaki."
Perancis bermula garang apabila Christo Popov menewaskan Jonatan Christie 21-19, 21-14 untuk membuka langkah.
Alex Lanier kemudian menggandakan kedudukan selepas menundukkan Alwi Farhan 21-16, 21-19 dalam aksi lebih kemas berbanding perlawanan sebelumnya.
Indonesia cuba bangkit apabila Anthony Sinisuka Ginting mendahului Toma Junior Popov dalam set penentuan, namun jatuh ketika aksi penting itu, memberi kelebihan kepada pemain Perancis berkenaan untuk menang 20-22, 21-15, 22-20.
Adam-Rossi kemudian menoktahkan kemenangan Perancis apabila menewaskan pasangan nombor sembilan dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-19, 21-19.
Pada aksi terakhir, Fajar Alfian-Shohibul Fikri hanya mampu menghadiahkan satu mata buat Indonesia selepas menewaskan Christo Popov-Toma Junior Popov 21-18, 19-21, 21-11.
Christo mengakui keputusan itu sukar dibayangkan beberapa tahun lalu.
"Jika anda beritahu saya dua, tiga atau empat tahun lalu kami akan tewaskan Indonesia, saya pasti tanya - siapa yang akan menang perlawanan?" katanya.
"Tetapi hari ini kami menunjukkan kemampuan sebagai satu pasukan.
Kami menang bersama, bukan hanya di gelanggang tetapi juga dari sokongan seluruh pasukan."
Bagi Indonesia, ia malam mengecewakan apabila perjalanan mereka berakhir di tangan skuad Perancis yang tidak gentar.
"Mungkin ini kemenangan paling penting untuk Perancis," kata Adam.
"Mengalahkan Indonesia 4-1, salah satu negara ikonik badminton dunia, sangat bermakna.
"Ia tahun yang amat baik untuk skuad Perancis." – NST Online
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1539702/piala-thomas-perancis-cipta-kejutan-besar-singkir-indonesia
|