Alex Marquez ungguli GP Sepanyol, Marc kemalangan
REUTERS - April 26, 2026 @ 9:12pm

Alex Marquez meraikan kemenangannya bersama rakan sepasukan, Fermin Aldeguer. Foto: REUTERS
JEREZ: Pelumba Gresini Racing, Alex Marquez menjuarai Grand Prix (GP) Sepanyol buat tahun kedua berturut-turut, hari ini, dalam perlumbaan yang turut menyaksikan abangnya, Marc Marquez terjatuh seawal pusingan kedua saingan.
Alex yang memulakan perlumbaan dari petak kelima mempamerkan aksi cemerlang apabila pantas memintas Marc untuk mendahului saingan sebelum memperkukuh kedudukan selepas juara dunia itu terbabit kemalangan ketika cuba mengejarnya.
Pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi yang kini mendahului kejuaraan, menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas gagal merapatkan jurang sepanjang 25 pusingan saingan.
Tempat ketiga pula menjadi milik pelumba VR46 Racing Team, Fabio Di Giannantonio.
Marc yang memburu kemenangan pertamanya di Jerez sejak 2019 selain mahu melengkapkan kemenangan ke-100 Grand Prix dalam semua kelas, bagaimanapun terpaksa melupakan hasrat itu susulan insiden kemalangan berkenaan.
Keputusan itu menyaksikan Marc kini ketinggalan 44 mata di belakang Bezzecchi dalam carta kejuaraan dunia.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/04/1538580/alex-marquez-ungguli-gp-sepanyol-marc-kemalangan
|