Zii Jia muncul wira, Malaysia tewaskan England 3-2
Helmi Talkah - April 25, 2026 @ 11:26pm

Lee Zii Jia muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan buat Malaysia menewaskan England 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, sebentar tadi. Foto: BAM
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan buat Malaysia menewaskan England 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, sebentar tadi.
Namun, permulaan goyah skuad negara terutama dalam acara perseorangan mencetuskan persoalan mengenai kemampuan menamatkan kemarau 34 tahun untuk menjulang trofi berprestij itu.
Dalam aksi di Forus Horsens itu, Malaysia dikejutkan seawal perlawanan pertama apabila Justin Hoh yang menduduki ranking ke-44 dunia dan diberi tanggungjawab selaku perseorangan pertama, tewas kepada pemain ranking ke-62 dunia, Harry Huang 19-21, 19-21.
Justin mengakui berdepan tekanan apabila diturunkan sebagai perseorangan pertama, sekali gus menjejaskan permainannya.
"Hari ini saya bermain sebagai perseorangan pertama, jadi secara jujur saya rasa sedikit tekanan.
Lawan juga bermain dengan sangat baik dan saya gagal memanfaatkan peluang untuk menang," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurutnya, dia cuba bangkit pada set kedua meskipun ketinggalan jauh di awal permainan.
"Pada permulaan set kedua saya ketinggalan agak jauh, jadi saya cuba kejar semula tanpa terlalu memikirkan keadaan.
Tetapi di penghujung perlawanan saya rasa tekanan itu kembali," katanya yang bertekad untuk bangkit dan memperbaiki prestasi dalam perlawanan seterusnya.
Skuad negara kembali menyamakan kedudukan menerusi beregu lelaki nombor satu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Oliver Butler-Samuel Jones 21-19, 21-13.
England kembali di depan apabila perseorangan kedua negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang berada di ranking ke-51 dunia dikejutkan oleh pemain ranking ke-153 dunia, Cholan Kayan 16-21, 15-21.
Bagaimanapun, beregu kedua negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menghidupkan kembali peluang Malaysia apabila menundukkan Alex Green-Zach Russ 21-14, 21-14 untuk mengikat kedudukan 2-2.
Dalam situasi getir, Zii Jia yang baru pulih daripada masalah kecederaan tampil sebagai penyelamat apabila menewaskan Nadeem Dalvi 21-13, 21-11 bagi memastikan kemenangan Malaysia.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan kredibiliti pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu sebagai sandaran utama negara dalam menghadirkan mata penting terutama ketika berdepan tekanan.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1538243/zii-jia-muncul-wira-malaysia-tewaskan-england-3-2
|