Harga tiket Piala Dunia 2026 tidak masuk akal
April 25, 2026 @ 8:20am

Harga tiket perlawanan akhir Piala Dunia FIFA bagi empat tempat duduk ditawarkan pada harga mencecah 1.7 juta pound (RM9.11 juta) setiap satu di laman jualan semula rasmi.
ZURICH: Harga tiket perlawanan akhir Piala Dunia FIFA mencetuskan kontroversi apabila empat tempat duduk ditawarkan pada harga mencecah 1.7 juta pound (RM9.11 juta) setiap satu di laman jualan semula rasmi.
Perlawanan akhir kejohanan berkenaan dijadual berlangsung di MetLife Stadium pada 19 Julai, dengan tiket kategori tertinggi itu terletak di bahagian bawah stadium di belakang gol.
Menurut maklumat di laman berkenaan, empat tiket terbabit berada dalam kategori satu - tempat duduk premium, dengan harga bermula sekitar 11,920 pound (RM63,891) dan meningkat sehingga angka luar biasa berkenaan.
Walaupun FIFA tidak menetapkan harga jualan semula, badan induk bola sepak dunia itu akan menerima komisen sebanyak 15 peratus daripada pembeli dan penjual bagi setiap transaksi.
Jika tiket berkenaan berjaya dijual pada harga dipaparkan, FIFA berpotensi meraih sekitar 2 juta pound (RM10.72 juta) hasil komisen daripada urusan jual beli terbabit.
Dalam kenyataan rasmi, FIFA menjelaskan model jualan tiket dan pasaran sekunder itu adalah selari dengan amalan industri sukan dan hiburan utama di Amerika Utara, selain menegaskan pendekatan harga fleksibel digunakan bagi memastikan nilai pasaran yang adil.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, turut mempertahankan struktur harga berkenaan dengan menyatakan semua hasil kejohanan akan dilaburkan semula untuk pembangunan bola sepak di seluruh dunia.
Katanya, sebahagian besar daripada 211 negara ahli FIFA bergantung kepada dana berkenaan untuk membangunkan sukan itu, sekali gus memerlukan keseimbangan antara penjanaan hasil dan akses kepada peminat.
Pada masa sama, pengenalan kategori baharu seperti kategori hadapan turut mengundang kritikan apabila ada peminat mendakwa tempat duduk terbaik ditahan terlebih dahulu sebelum ditawarkan semula pada harga lebih tinggi. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/04/1537950/harga-tiket-piala-dunia-2026-tidak-masuk-akal
|