Buakaw buktikan dirinya masih berbisa
Oleh Helmi Talkah - April 25, 2026 @ 1:57pm

Legenda Muay Thai, Buakaw Banchamek ketika menentang pencabar dari China, Meng Gaofeng dalam aksi T-Fight All Star di Stadium Titiwangsa malam tadi. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Legenda muay thai dunia, Buakaw Banchamek, terus membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menewaskan pencabar muda dari China, Meng Gao Feng, pada aksi kemuncak T-Fight All Star 2026 di Stadium Titiwangsa, malam tadi.
Dalam pertarungan penuh intensiti, Buakaw yang berusia 43 tahun menggunakan pengalaman serta kawalan gelanggang untuk menundukkan lawannya yang jauh lebih muda sebelum menang menerusi keputusan mata.
Sorakan penonton bergema sebaik kedua-dua pejuang membuat kemunculan, dengan suasana di stadium semakin memuncak menjelang aksi utama yang dinanti-nantikan.
Sepanjang pertarungan, Buakaw tampil lebih konsisten dari segi serangan dan taktikal, sekali gus meyakinkan juri untuk menghadiahkan kemenangan.
Kejayaan itu mengukuhkan lagi statusnya sebagai ikon Muay Thai dunia selain membuktikan usia bukan penghalang untuk terus bersaing di pentas tertinggi.
Acara itu turut menyajikan tujuh lagi pertarungan menarik membabitkan pejuang tempatan dan antarabangsa, sekali gus memeriahkan kalendar sukan tempur negara.
Pengasas T-Fight memaklumkan pihaknya merancang membawa masuk nama besar seperti Rodtang Jitmuangnon pada edisi akan datang, namun perkara itu masih di peringkat perancangan.
Dalam masa sama, penganjur memaklumkan kejohanan berkenaan turut memberi impak positif dari segi kebajikan apabila hasil jualan tiket dan Pay-Per-View berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Pusat Autisme Pengaman PDRM.
Inisiatif itu menjadikan T-Fight bukan sekadar platform sukan tempur, malah medan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/04/1538068/buakaw-buktikan-dirinya-masih-berbisa
|