Nurul Izzah pecah rekod kebangsaan
Oleh Helmi Talkah - April 25, 2026 @ 1:03pm

Pelumba berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri beraksi dalam acara pecut wanita pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Velodrom Nasional hari ini. - BERNAMA
NILAI: Pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan dia kembali berada di landasan terbaik apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri pada saingan Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, hari ini.
Atlet berusia 23 tahun itu mencatat masa 10.541 saat (s) untuk menduduki tempat ketujuh keseluruhan dalam pusingan kelayakan acara pecut individu wanita.
Catatan berkenaan memperbaharui rekod kebangsaan 10.578s yang dilakukannya pada Kejohanan Piala Negara di Konya, Mac tahun lalu, sekali gus menandakan peningkatan ketara selepas prestasinya sedikit merosot pada separuh kedua musim lalu.
Seorang lagi pelumba negara, Nur Alyssa Farid turut mempamerkan aksi meyakinkan apabila mencatat 10.626s untuk berada di kedudukan ke-12 keseluruhan, sekali gus melayakkan diri ke pusingan pertama.
Hanya 28 pelumba terbaik mara ke peringkat seterusnya.
Kedua-dua pelumba negara itu dijadual berdepan wakil Belgium dalam aksi seterusnya hari ini, dengan Izzah bakal menentang Zita Gheysens manakala Alyssa pula berdepan Nicky Degrendele.
Sementara itu, bekas juara dunia keirin, Datuk Azizulhasni Awang tidak mengecewakan apabila mudah memenangi saringan awal untuk menempah slot ke pusingan kedua, dengan hanya pemenang setiap saringan layak secara automatik.
Namun, rakan sepasukan Shah Firdaus Sahrom terpaksa melalui laluan lebih mencabar apabila menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringannya dan perlu mengharungi pusingan repechage bagi memburu tiket ke pusingan seterusnya.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/04/1538046/nurul-izzah-pecah-rekod-kebangsaan
|