Mampukah magis 1992 berulang kembali?
Oleh Alief Iqbal Saidin - April 23, 2026 @ 5:30pm

Skuad Piala Thomas 1992 meraikan kejayaan menjuarai trofi berprestij itu.
KUALA LUMPUR: Menjelang bermulanya saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark esok, sejarah gemilang Malaysia sebagai antara perintis kejohanan berprestij itu kembali segar, sekali gus membakar semangat skuad badminton negara untuk mengulangi kegemilangan lampau.
Tidak ramai menyedari bahawa Malaysia, ketika masih dikenali sebagai Malaya, adalah juara pertama kejohanan selepas menjuarai edisi sulung pada 1949 dengan menewaskan Denmark 8-1 di Queen's Hall Preston, England.
Kejayaan itu bukan sekadar kemenangan, sebaliknya menjadi titik permulaan dominasi awal negara dalam arena badminton dunia apabila Malaysia turut mencipta hatrik kejuaraan pada 1949, 1952 dan 1955.
Kejohanan yang dinamakan sempena Sir George Alan Thomas itu kini menjadi pentas paling berprestij bagi acara berpasukan lelaki, menghimpunkan kuasa besar badminton dari seluruh dunia setiap dua tahun.
Sepanjang sejarah, Malaysia sudah meraih lima gelaran keseluruhan selain muncul naib juara sebanyak sembilan kali, sekali gus menjadi antara pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan berprestij itu.
Namun, detik paling diingati pastinya kejayaan 1992 apabila skuad negara bangkit menewaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir dramatik di Kuala Lumpur, yang menjadi kali terakhir Malaysia menjulang trofi keramat itu.
Sejak itu, Malaysia terus memburu detik kebangkitan dengan beberapa percubaan hampir berjaya termasuk muncul naib juara pada 1994, 1998, 2002 dan 2014, membuktikan negara sentiasa berada dalam kelompok pencabar utama.
Dalam konteks semasa, kekuatan tradisi Malaysia dalam acara beregu dilihat mampu menjadi sandaran utama untuk kembali mencabar kejuaraan, sambil sektor perseorangan diharap mampu menyumbang mata penting.
Sebagai antara 'pioneer' kejohanan ini, Piala Thomas bukan sekadar trofi buat Malaysia, tetapi simbol maruah dan warisan sukan negara yang pernah menggegarkan dunia.
Kini, ketika tirai edisi 2026 bakal dibuka, harapan kembali disandarkan kepada pasukan negara untuk menghidupkan semula legasi gemilang dan mungkin mencipta satu lagi detik bersejarah.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1537369/mampukah-magis-1992-berulang-kembali
|