Tiket final Piala Malaysia kekal RM50
Oleh Syafiq Aznan - April 23, 2026 @ 3:04pm

Senarai harga tiket final Piala Malaysia.
KUALA LUMPUR: Tiada kenaikan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/26 selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengekalkan harga tiket bagi empat kategori utama seperti sebelum ini.
Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd yang turut mengumumkan tarikh final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City FC itu akan berlangsung di TM Stadium Nasional, 23 Mei ini.
"Meskipun berdepan dengan peningkatan kos penganjuran namun pihak MFL masih mengekalkan harga tiket empat kategori utama yang ditawarkan kepada penyokong kedua-dua pasukan.
"Struktur harga tiket masih sama seperti sebelum ini, dengan harga bermula RM50 dan RM70 bagi kategori General Admission (GA50 & GA70). Selain itu, tiket Premium ditawarkan pada harga RM150 manakala VIP Grandstand berharga RM200," katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, perebutan kejuaraan edisi ke-99 ini pasti mencuri tumpuan apabila mempertemukan juara bertahan, JDT dan Kuching City FC yang bakal membuat penampilan pertama di pentas akhir.
Justeru, Shazli mengharapkan pengumuman terbabit dapat membantu penyokong kedua-dua pasukan untuk melakukan persiapan yang lebih baik bagi memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing di TM Stadium Nasional.
"Apatah lagi bagi penyokong Kuching City FC yang bakal merasai pengalaman beraksi di pentas final buat kali pertama, MFL berharap informasi awal ini dapat memberi masa yang cukup untuk mereka membuat perancangan perjalanan dengan lebih teratur.
"Seperti amalan sebelum ini, bagi urusan penjualan tiket pula, ia akan diuruskan sepenuhnya oleh kedua-dua pasukan finalis.
"Kaedah ini dilihat lebih tersusun dan memberi peluang yang lebih adil kepada penyokong untuk mendapatkan tiket," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/04/1537283/tiket-final-piala-malaysia-kekal-rm50
|