JDT tersingkir bermaruah di tangan Al Ahli
Syazwan Msar[email protected]

AKSI antara JDT dan Al Ahli sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) wajar berbangga dengan semangat juang dipamerkan meskipun tewas tipis 1-2 kepada juara bertahan, Al Ahli pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium King Abdullah Sports City, sebentar tadi.
Turun selaku pasukan bukan pilihan, Harimau Selatan mempertaruhkan gandingan Nacho Mendez, Oscar Arribas dan Jonathan Silva dalam usaha menggegar kubu lawan, manakala Al Ahli pula menurunkan barisan bertaraf bintang seperti Riyad Mahrez, Galeno dan Ivan Toney.
JDT terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila mendahului pada minit ke-19 hasil jaringan sendiri Ali Majrashi yang tertampan bola ke gawang sendiri.
Namun, suasana cemas menyelubungi kem JDT apabila penyerang mereka, Jairo da Silva terpaksa diusung keluar pada minit ke-39 selepas mengalami kecederaan di muka akibat ditendang Ali yang cuba mengeluarkan bola menerusi sepakan gunting pada minit ke-36.
Insiden itu menyaksikan pemain Al Ahli berkenaan dilayangkan kad merah, namun pasukan tuan rumah tetap berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada masa tambahan babak pertama menerusi tandukan Franck Kessie.
Memasuki separuh masa kedua, JDT yang dipimpin Xisco Munoz tampil lebih agresif dan kerap mengatur gerakan ke kubu lawan, namun Al Ahli kembali di depan pada minit ke-54 menerusi rembatan kencang Galeno dari luar kotak penalti.
JDT hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-76, namun percubaan Yago Cesar berjaya ditepis Edouard Mendy yang bertindak cemerlang menyelamatkan gawang tuan rumah.
Harimau Selatan kemudian melakukan beberapa pertukaran bagi menambah sengat jentera serangan, namun usaha mereka terus buntu untuk memburu gol penyamaan.
Oscar Arribas turut hampir mencuri gol pada masa tambahan babak kedua, tetapi sekali lagi Mendy muncul penyelamat untuk memastikan kelebihan Al Ahli kekal terpelihara.
Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan JDT terlepas peluang untuk melangkah ke separuh akhir ACLE, namun tetap meninggalkan gelanggang dengan kepala tegak selepas memberi tentangan sengit kepada juara bertahan.
Juara bertahan itu akan berdepan wakil Jepun, Vissel Kobe yang menyingkirkan kelab Qatar, Al-Sadd 5-4 menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat 3-3.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2026/04/1347280/jdt-tersingkir-bermaruah-di-tangan-al-ahli
|