Harimau Muda B-16 bangkit benam Indonesia
Oleh Syafiq Aznan - April 16, 2026 @ 10:43pm

Pemain skuad B-16 negara meraikan jaringan ketika menewaskan Indonesia. Foto FAM
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara bangkit pada aksi kedua Kumpulan A Kejuaraan Bawah 17 tahun (B-17) ASEAN 2026 selepas menewaskan tuan rumah, Indonesia 1-0 di Stadium Gelora Joko Samudro, Gresik, sebentar tadi.
Selepas tumbang 0-4 di tangan Vietnam pada aksi pembukaan, kemenangan ini secara tidak langsung membuka peluang untuk skuad bimbingan Shukor Adan memburu slot ke separuh akhir.
Hanya juara setiap kumpulan dan satu naib juara terbaik akan meneruskan kemaraan ke separuh akhir bagi edisi kali ini.
Pada aksi terbabit, Malaysia menguji seawal minit ketiga menerusi percubaan Ahmad Yusuf Nasrullah Ahmad Ramli namun rembatan lemahnya diselamatkan Noah Leo Duvert.
Penjaga gol negara, Adam Nurfakrullah Mohd Fadli pula cemerlang menepis rembatan Pandu Aryo Wicaksono pada minit ketujuh sebelum volinya pada minit ke-10 tersasar.
Kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan sehinggalah sepakan sudut Nur Azam Muslim Nor Hisham ditanduk masuk Fareez Danial Fadzly pada minit ke-33 untuk kedudukan 1-0.
Bersambung babak kedua, Indonesia terus agresif untuk memburu gol penyamaan menerusi percubaan Chico Jericho Yarangga yang dibaca Adam Nurfakrullah pada minit ke-48.
Percubaan jarak jauh Ahmad Yusuf pada minit ke-55 pula hanya sedikit tersasar sebelum rembatan Muhammad Aniq Thaqif Hairulnizam pada minit ke-62 diselamatkan Noah.
Kesilapan Adam Nurfakrullah pada minit ke-84 nyaris mengundang padah apabila bola yang cuba dikeluarkannya terkena Sean Rahman Kastor namun mujur bola lantunan itu tersasar dari gawang negara.
Beberapa gerakan dilancarkan Indonesia belum cukup untuk menggugat gawang negara dan kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat perlawanan untuk tiga mata pertama buat Malaysia.
Selepas ini, skuad negara akan menutup kempen peringkat kumpulan menentang Timor-Leste yang sudahpun tersingkir di venue sama, Ahad ini.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam kejohanan ini adalah juara dalam dua edisi iaitu pada 2013 dan 2019.
Edisi 2024 di Indonesia sebelum ini menyaksikan skuad negara tersingkir di peringkat kumpulan apabila menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan C.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/04/1534604/harimau-muda-b-16-bangkit-benam-indonesia
|