Kesilapan mudah punca Aaron-Wooi Yik tersingkir
Oleh Alief Iqbal Saidin - April 10, 2026 @ 11:20pm

Aksi Aaron-Wooi Yik ketika menentang pasangan Korea. - Foto BAC
KUALA LUMPUR: Kesilapan mudah pada mata-mata penting menjadi punca utama kegagalan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempertahankan gelaran Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas tersingkir di suku akhir di Ningbo, sebentar tadi.
Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur tewas 21-19, 26-28, 21-13 kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dalam perlawanan sengit selama 83 minit di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Aaron mengakui kesilapan mudah terutama pada detik-detik penting memberi kelebihan kepada pasangan lawan yang kini berada di ranking ke-22 dunia.
"Kami melakukan kesilapan pada set pertama ketika mendahului 11-7 tetapi akhirnya tewas.
Pada set ketiga juga kami banyak melakukan kesilapan mudah," katanya.
Menurutnya, mereka sebenarnya turun tanpa tekanan dalam perlawanan itu, namun tetap kecewa kerana gagal mempertahankan gelaran yang dimenangi sebelum ini.
"Sebenarnya kami tidak berada di bawah tekanan ketika masuk ke gelanggang, tetapi kami tetap kecewa dengan kekalahan hari ini," katanya.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam kejohanan berkenaan selepas beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah turut tersingkir lebih awal.
Pertarungan yang berlangsung lebih satu jam itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik bermula baik apabila memberi tentangan sengit kepada pasangan Korea Selatan, namun gagal mengekalkan momentum terutama pada set kedua yang berlarutan hingga 26-28.
Pada set penentuan, pasangan negara dilihat hilang rentak apabila kerap melakukan kesilapan sendiri, sekali gus memberi ruang kepada Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju menguasai permainan dan menamatkan saingan mereka di peringkat suku akhir.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1532138/kesilapan-mudah-punca-aaron-wooi-yik-tersingkir
|