Qayyim sudah tahu 'rahsia' pelumba Jepun
Oleh Sukhairi Thani - April 10, 2026 @ 6:11pm

Qayyim tekad bangkit selepas aksi hambar di Pusingan 1 Kejuaraan Moto4 Asia Cup 2026 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, Februari lalu. - Foto Qayyim
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Qayyim Razin Razali mengakui sudah dapat 'membaca' kekuatan pencabar utama khususnya dari Jepun yang disifatkan lebih agresif, laju dan konsisten selepas aksi Pusingan 1 Kejuaraan Moto4 Asia Cup 2026 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, Februari lalu.
Pelumba berusia 14 tahun itu berkata, kelebihan dimiliki pelumba Jepun dilihat jelas terutama dalam aspek persediaan apabila mereka menggunakan jentera sama iaitu Honda NSF250R dalam latihan harian.
"Agresif, laju dan konsisten… mereka berlatih dengan motosikal yang kami berlumba itu.
Mereka mempunyai motosikal itu dan berlatih di trek setiap hari dan bagi saya, itu satu kelebihan buat mereka," katanya.
Pada Pusingan 1 di Buriram, dominasi pelumba Jepun terserlah apabila Hayato Chishiki muncul juara bagi kedua-dua perlumbaan, manakala rakan senegaranya, Waku Kunitate, Kotaro Togashi dan Haruki Matsuyama turut menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik.
Biarpun begitu, kelibat wakil negara, Qabil Irfan Azlan turut mencuri tumpuan apabila bangkit menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kedua selepas menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan keenam.
Qayyim pula menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-17 dan Perlumbaan 2 di tempat ke-16.
Pusingan 2 sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar pada bulan ini namun ditunda ke November susulan situasi geopolitik di Timur Tengah.
Sebagai alternatif, Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi venue Pusingan 2 yang dijadual berlangsung awal Ogos ini, manakala Pusingan 3 akan dilangsungkan di Litar Motegi, Jepun pada Oktober.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/04/1532059/qayyim-sudah-tahu-rahsia-pelumba-jepun
|