Pearly-Thinaah kandas di suku akhir BAC
Oleh Sukhairi Thani - April 10, 2026 @ 8:55pm

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah. - Foto BAC
KUALA LUMPUR: Perjuangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di pentas Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 berakhir di suku akhir apabila tewas kepada gandingan tuan rumah di Ningbo, China, sebentar tadi.
Turun sebagai antara harapan utama negara, pasangan ranking kedua dunia itu bagaimanapun gagal menembusi separuh akhir selepas tunduk 13-21, 15-21 kepada Li Yi Jing-Luo Xu Min dalam pertarungan selama 41 minit di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Pearly-Thinaah dilihat bergelut sejak awal permainan apabila gagal menyaingi kepantasan dan corak permainan lawan di set pertama, sebelum cuba mengubah rentak pada set kedua.
Harapan untuk menyaksikan kebangkitan sempat menyala apabila mereka mendahului di awal set kedua namun sorakan padu penyokong tuan rumah nyata menyuntik semangat baharu kepada Yi Jing-Xu Min untuk bangkit menguasai perlawanan.
Selepas mengikat kedudukan 7-7, pasangan China di ranking kesembilan dunia itu terus memperkemaskan permainan untuk mendahului 11-7 sebelum menutup aksi dengan kemenangan 21-15.
Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah tewas buat kali kedua dalam tiga pertemuan menentang pasangan berkenaan sekali gus menutup peluang mereka untuk mencipta pencapaian terbaik di kejohanan ini.
Yi Jing-Xu Min akan meneruskan cabaran di separuh akhir menentang gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang sebelum itu menewaskan wakil Indonesia, Rachel Rose-Febi Setianingrum.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1532099/pearly-thinaah-kandas-di-suku-akhir-bac
|