Tang Jie-Ee Wei hanya perlu 37 minit ke suku akhir
Oleh Sukhairi Thani - April 9, 2026 @ 1:56pm

Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir BAC hari ini. - Foto BAC
KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China apabila mudah mengenepikan gandingan ke-20 dunia, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei hanya memerlukan 37 minit untuk melakar kemenangan 21-13, 21-14 ke atas gandingan India berkenaan.
Kemenangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei yang kini menghuni ranking keempat dunia melakar kemenangan kedua selepas berjaya menewaskan Dhruv-Tanisha di pusingan pertama Terbuka Indonesia 2025.
Di suku akhir esok, pasangan negara dijangka menghadapi laluan berliku apabila bertemu gandingan Korea Selatan di ranking ke-118 dunia, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong.
Jae Hyeon-Ha Jeong mara ke suku akhir selepas mengejutkan gandingan Indonesia yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu 23-21, 20-22, 21-10.
Terdahulu, dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terpaksa melupakan hasrat mereka di kejohanan berkenaan selepas tewas di tangan lawan masing-masing.
Soon Huat-Shevon tewas pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin-Hui 21-10, 15-21, 16-21 manakala Tien Ci-Chiew Sien ditundukkan lawan dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 8-21, 14-21.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1531440/tang-jie-ee-wei-hanya-perlu-37-minit-ke-suku-akhir
|