Sze Fei-Izzuddin bungkus awal di Ningbo
Oleh Helmi Talkah - April 8, 2026 @ 11:22pm

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal dalam misi sekurang-kurangnya muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia apabila tumbang pada pusingan pertama di Ningbo, China malam ini. – Foto Bank of Ningbo Badminton Asia Championships 2026
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dikejutkan dengan kekalahan pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, malam ini.
Pasangan nombor tujuh dunia itu tewas kepada gandingan Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa Nga yang berada di ranking ke-55 dunia 22-24, 21-18, 11-21 dalam tempoh 64 minit di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Selepas tewas set pertama, Sze Fei-Izzuddin bangkit dengan permainan lebih tersusun untuk memenangi set kedua sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, mereka gagal mengekalkan momentum di set ketiga apabila melakukan beberapa kesilapan mudah yang membuka ruang kepada lawan menguasai permainan sebelum tewas 11-21.
Kekalahan itu hadir dalam pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan, sekali gus menafikan hasrat Sze Fei-Izzuddin untuk mengulangi pencapaian muncul naib juara edisi 2024.
Sementara itu, nasib sama turut menimpa beregu wanita muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang tewas kepada pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu 12-21, 16-21.
Turut tersingkir awal pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei selepas tewas kepada pemain Jepun, Tomoka Miyazaki 12-21, 15-21.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1531167/sze-fei-izzuddin-bungkus-awal-di-ningbo
|