Cabaran perseorangan lelaki di Ningbo berakhir
Oleh Helmi Talkah - April 8, 2026 @ 8:13pm

Pemain negara Justin Hoh tumpas di tangan Alwi Farhan dari Indonesia pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China. – Foto Bank of Ningbo Badminton Asia Championships 2026
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lagi mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China selepas Justin Hoh turut tersingkir di pusingan pertama, hari ini.
Pemain ranking ke-40 dunia itu tewas kepada bintang sedang meningkat Indonesia, Alwi Farhan dalam pertarungan tiga set 19-21, 21-14, 18-21 pada aksi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Kekalahan itu menyaksikan Justin terus buntu menentang Alwi apabila tewas buat kali keempat berturut-turut, sekali gus menjadikan rekod pertemuan memihak pemain Indonesia itu 6-2.
Terdahulu, seorang lagi wakil negara, Leong Jun Hao turut ditunjukkan jalan keluar selepas tewas kepada pemain nombor empat dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 13-21, 8-21.
Kekalahan dua tonggak utama perseorangan lelaki itu dilihat membimbangkan menjelang saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Jun Hao dijangka menggalas tugas selaku perseorangan pertama negara, manakala Justin sebagai perseorangan kedua.
Sementara itu, nasib sama turut menimpa beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tewas kepada pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 18-21.
Kekalahan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat pasangan ranking keenam dunia itu berdepan lawan sama.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1531116/cabaran-perseorangan-lelaki-di-ningbo-berakhir
|