Kuala Lumpur: Malaysia menghantar barisan pelumba terbaik bagi menggalas cabaran memburu pingat pada saingan Piala Dunia berbasikal trek di Velodrom Nasional, Nilai dari 24 hingga 26 April ini.
Tumpuan terarah kepada jaguh negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang diharap mampu mengulangi pencapaian cemerlang seperti di Piala Dunia Perth yang lalu apabila meraih emas dalam acara keirin, sekali gus menghadiahkan kejayaan di hadapan penyokong sendiri.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, berkata sasaran memburu podium tetap menjadi keutamaan meskipun pendekatan tanpa tekanan diambil terhadap atlet.
"Kita memang mahu kemenangan dan pingat, itu sasaran kita.
Tapi saya tidak mahu beri tekanan kepada atlet kerana bila tekanan kurang, mereka akan lebih bebas untuk beraksi.
"Cabaran di Nilai juga dijangka sengit dengan kehadiran pelumba terbaik dunia termasuk jaguh Belanda, Harrie Lavreysen.
"Ia akan jadi persaingan yang sangat sengit kerana kita ada barisan pelumba terbaik dunia di sini," katanya.
Skuad negara bakal diketuai Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Ridwan Sahrom, Lau New Joe, Nurul Izzah Mohd Asri, Anis Amira Rosdi, Nur Alyssa Mohd Farid dan Nur Aisyah Zubir.
Namun, Amarjit yakin kelebihan beraksi di laman sendiri mampu memberi suntikan semangat tambahan kepada skuad negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan harapan tinggi turut disandarkan kepada Azizulhasni untuk terus mengharumkan nama negara.
"Kita semua berharap Azizul dapat lakukan yang terbaik dan saya yakin dia mempunyai keinginan tinggi untuk memartabatkan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Amarjit turut berkongsi perkembangan terkini Shah Firdaus yang memberi khabar positif apabila pelumba itu sudah pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk beraksi.
Menurutnya, Shah Firdaus sudah mendapat rehat mencukupi bagi memulihkan masalah lutut yang dialami sebelum ini dan kini bersedia kembali bersaing.