Zii Jia tak hadir latihan lagi
Oleh Alief Iqbal Saidin - April 4, 2026 @ 12:52pm

Zii Jia tidak hadir latihan buat kali kedua untuk persiapan hadapi Piala Thomas.
KUALA LUMPUR: Ketiadaan Lee Zii Jia di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini disahkan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Kenneth Jonassen yang mengakui peluang pemain itu menyertai latihan memang tipis.
Kenneth berkata beliau sudah menjangkakan Zii Jia tidak dapat hadir selepas pemain profesional negara itu menarik diri daripada latihan Rabu lalu bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan kecederaan buku lali.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan Zii Jia pulih sepenuhnya sebelum kembali menjalani latihan bersama pasukan menjelang Piala Thomas.
"Perkara paling penting sekarang adalah dia pulih sepenuhnya supaya boleh fokus kepada pemulihan dan bersedia untuk kembali," katanya ketika ditemui di Akdemi badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Jonassen menjelaskan perancangan asal masih berjalan seperti dirancang, dengan harapan Zii Jia dapat menyertai beberapa sesi latihan minggu depan bagi menilai tahap kecergasannya.
Menurutnya, tempoh masa yang semakin hampir dengan tarikh akhir pendaftaran pasukan menjadikan situasi itu semakin mencabar buat barisan kejurulatihan.
"Kita berharap dia dapat bersama pasukan beberapa kali minggu depan, tetapi kita semakin hampir dengan tarikh akhir penting iaitu 10 April untuk pencalonan akhir pasukan," katanya.
Beliau berkata selepas tarikh akhir itu, sebarang perubahan pemain akan menjadi lebih rumit kerana perlu bergantung kepada kedudukan ranking dunia dan peraturan kejohanan.
"Selepas pencalonan akhir, ia menjadi lebih kompleks kerana kita tidak boleh menggantikan pemain sesuka hati, semuanya bergantung kepada ranking dunia dan peraturan kejohanan," katanya.
Jonassen mengakui situasi itu meletakkan pasukan dalam tekanan kerana mereka memerlukan gambaran jelas mengenai tahap kecergasan Zii Jia sebelum membuat keputusan muktamad.
Katanya, minggu depan menjadi tempoh kritikal untuk menjawab pelbagai persoalan termasuk tahap pemulihan, kecergasan dan kesediaan pemain itu untuk kembali beraksi.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/04/1529336/zii-jia-tak-hadir-latihan-lagi
|