Ronaldo, Messi bergabung dalam iklan Piala Dunia
April 3, 2026 @ 7:53am

Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo (kiri) dan Lionel Messi bergabung dalam iklan LEGO bagi Piala Dunia. – Foto Instagram LEGO
LONDON: Cristiano Ronaldo dan seteru lamanya Lionel Messi sekali lagi bergabung dalam sebuah iklan yang menampilkan deretan nama besar bola sepak dunia.
Ronaldo, 41, dan Messi, 38, dijangka kembali berentap pada Piala Dunia pertengahan tahun ini.
Sepanjang karier, kedua-duanya sering bersaing merebut keunggulan anugerah Ballon d'Or dengan Messi mendahului lapan berbanding lima.
Namun kali ini mereka bergandingan bersama bintang Real Madrid, Kylian Mbappe dan Vinicius Junior dalam iklan LEGO yang sarat dengan bintang ternama.
Syarikat mainan blok itu melancarkan koleksi Piala Dunia FIFA di Instagram dengan kehadiran ikon bola sepak di setiap sudut.
Peminat berpeluang membina trofi Piala Dunia serta model khas yang meraikan keempat-empat pemain berkenaan.
Iklan itu memaparkan Ronaldo meletakkan sentuhan akhir pada trofi LEGO sebelum Vinicius masuk menambah kepingan hampir terakhir.
Mbappe kemudian melengkapkan binaan itu sebelum keempat-empat bintang berkenaan berebut meletakkan figura LEGO masing-masing di atas trofi berkenaan.
Peminat boleh membina model Ronaldo, Messi, Mbappe dan Vinicius dalam set 'Football Highlights', manakala set 'Football Legend' menampilkan Ronaldo atau Messi.
"Ia bukan sesuatu yang berlaku setiap hari apabila anda dijadikan set LEGO!
"Saya amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada edisi baharu LEGO ini bersama tiga lagi pemain hebat dalam sukan ini.
"Saya tidak sabar melihat peminat di seluruh dunia mengenali kisah dan legasi sukan saya menerusi set LEGO ini yang menggabungkan bola sepak dan kreativiti," kata Ronaldo.
Messi pula berkata: "Seperti bola sepak, permainan LEGO adalah mengenai membina dan membina semula, mencuba perkara baharu, belajar daripada kesilapan dan meraikan kejayaan.
"Saya suka bagaimana set LEGO ini menghidupkan detik saya di tengah padang dengan cara yang menyeronokkan dan penuh imaginasi.
"Saya teruja untuk peminat meneroka keajaiban bola sepak melalui set ini dan bersama-sama meraikan sukan yang kita cintai." – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/04/1528755/ronaldo-messi-bergabung-dalam-iklan-piala-dunia
|