Nurul Izzah raih perak 1km ujian masa
Helmi Talkah - Mac 31, 2026 @ 7:04pm

Nurul Izzah raih pingat perak 1 kilometer (km) ujian masa wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026. Foto: Fail NSTP
KUALA LUMPUR: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memastikan dirinya tidak pulang tangan kosong dalam acara individu selepas meraih pingat perak 1 kilometer (km) ujian masa wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Velodrom Tagaytay, Filipina, hari ini.
Pelumba berusia 23 tahun itu mencatat masa 1 minit 06.916 saat (s) untuk menduduki tempat kedua, di belakang pelumba China, Luo Xue Huang (1:05.120s) manakala gangsa milik Hwang Hyeon Seo (1:07.269s).
Kejayaan itu menebus kekecewaan Nurul Izzah selepas gagal memenangi pingat dalam acara keirin dan pecut individu sebelum ini.
Terdahulu, dia mara ke final di kedudukan ketiga selepas mencatat 1:07.571s dalam pusingan kelayakan, manakala Xue Huang mengungguli saingan dengan 1:05.561s sekali gus memadam rekod Asia milik pelumba negara itu.
Pada aksi final, Nurul Izzah memperbaiki catatan masa namun tidak cukup untuk mempertahankan gelaran 1km ujian masa yang dimenanginya tahun lalu di Nilai.
Pingat itu adalah pencapaian individu pertamanya pada edisi kali ini, selain menambah koleksi selepas turut meraih perak acara pecut berpasukan bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid.
Sementara itu, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan saingan di tempat keempat acara 1km ujian masa lelaki dengan 1:00.832s.
Pingat emas dimenangi pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi dengan masa 59.915s, diikuti wakil China, Xie Han (59.929s) manakala pelumba Jepun, Ryuto Ichida melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 1:00.614s.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/03/1527725/nurul-izzah-raih-perak-1km-ujian-masa
|