Harimau Malaya kecundang di tangan Vietnam
Zulfaizan Mansor - Mac 31, 2026 @ 10:01pm

Antara aksi Malaysia menentang Vietnam pada saingan kelayakan Piala Asia 2027 di Nam Dinh. Foto: AFP
KUALA LUMPUR: Peter Cklamovski mengalami kekalahan pertama 'di atas padang' sebagai pengendali Harimau Malaya selepas tunduk 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, sebentar tadi.
Pengendali kelahiran Australia itu sebelum ini merekodkan pencapaian yang cemerlang apabila tidak pernah kalah dalam lapan perlawanan rasmi sejak membimbing Harimau Malaya pada awal tahun lalu.
Harimau Malaya sebelum ini diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 bagi tiga aksi persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin serta dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam dan Nepal oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Namun ia bukan kekalahan atas padang yang dialami Cklamovski, sebaliknya hukuman daripada FIFA dan AFC susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero.
Pada aksi sebentar tadi, Vietnam tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Do Duy Manh meledak gol pembukaan seawal minit keenam selepas menanduk masuk bola yang berpunca daripada sepakan sudut Truong Tien Anh.
Harimau Malaya mendapat beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan selepas itu termasuk menerusi Faisal Halim pada minit ke-11, namun sepakan lambung kapten Selangor itu sedikit tersasar.
Dua minit berselang, giliran pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin pula mendapat peluang tetapi rembatan leretnya dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip.
Ketika seluruh peminat mengharapkan Harimau Malaya bangkit pada babak kedua, sebaliknya pula berlaku apabila Vietnam menambah dua gol pada minit ke-51 dan 59 dengan kedua-duanya menerusi tandukan pemain naturalisasi skuad Golden Star Warriors, Nguyen Xuan Son.
Endrick Dos Santos menyumbang gol pertama Harimau Malaya selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-77, namun ia belum cukup untuk menghalang Vietnam daripada meraih kemenangan.
Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya tidak berjaya mendapatkan keputusan yang diharapkan untuk menutup kempen kelayakan dengan kemenangan dan mendapatkan mata bagi ranking FIFA.
Sebaliknya, ia memberi detik manis buat Vietnam apabila mengumpul 18 mata maksimum daripada enam perlawanan dalam kempen kelayakan dengan mereka sebenarnya sudah sah ke pusingan akhir selaku juara Kumpulan F sejak AFC mengenakan hukuman ke atas Harimau Malaya sebelum ini.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/03/1527789/harimau-malaya-kecundang-di-tangan-vietnam
|