Salah dinasihat tidak sertai kelab MLS
Mac 30, 2026 @ 10:31am

Penyerang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah memutuskan untuk meninggalkan kelab itu hujung musim ini. – Foto fail REUTERS
KAHERAH: Pengarah skuad kebangsaan Mesir, Ibrahim Hassan menasihatkan Mohamed Salah supaya tidak berpindah ke Major League Soccer (MLS) selepas meninggalkan Liverpool pada hujung musim ini kerana bimbang penyerang itu akan hilang tumpuan di pentas tertinggi.
Salah, 33, masih belum membuat keputusan mengenai hala tujunya selepas menamatkan tempoh sembilan tahun yang gemilang bersama Liverpool, yang menyaksikan dia memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.
Pesuruhjaya MLS, Don Garber sebelum ini menyatakan hasrat untuk melihat Salah beraksi dalam liga berkenaan, namun masih belum jelas sama ada mana-mana kelab MLS akan cuba mendapatkan khidmatnya.
"Secara peribadi, saya lebih suka dia kekal di Eropah," kata Hassan kepada On Sports.
"Saya mendengar mengenai tawaran daripada Paris Saint-Germain (PSG), Bayern Munich dan kelab di liga Itali.
"Bagi MLS? Dia akan terlalu jauh daripada perhatian.
Anda tidak akan ingat Salah lagi, sama seperti saya tidak lagi mengikuti (Lionel) Messi sekarang, malah saya tidak cuba menontonnya."
Selepas mencipta kejayaan bersama Barcelona dan PSG, kapten Argentina, Messi menyertai Inter Miami pada 2023 beberapa bulan selepas menjulang Piala Dunia dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu.
Hassan berkata Liga Pro Saudi boleh menjadi pilihan sesuai sekiranya Salah tidak terus kekal di Eropah.
"Jika dia tidak menerima tawaran dari Eropah, maka perpindahan ke liga Saudi adalah pilihan baik, terutama dengan kehadiran nama besar seperti Cristiano (Ronaldo)," tegas Hassan yang juga kembar kepada jurulatih Mesir, Hossam Hassan.
Salah kini diketepikan susulan kecederaan dan tidak menyertai kem latihan Mesir sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia di Amerika Utara.
Mesir akan berdepan Sepanyol pada aksi persahabatan di Barcelona awal pagi Rabu ini selepas menang 4-0 ke atas Arab Saudi di Jeddah, Jumaat lalu.
Skuad juara Afrika tujuh kali itu berada dalam Kumpulan G bersama Belgium, New Zealand dan Iran bagi pusingan akhir Piala Dunia dari 11 Jun hingga 19 Julai ini. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/03/1527012/salah-dinasihat-tidak-sertai-kelab-mls
|