Suzuka: Pelumba muda Kimi Antonelli mencipta sejarah apabila muncul pelumba termuda dalam sejarah Formula Satu (F1) untuk mendahului kedudukan kejuaraan dunia selepas memenangi Grand Prix (GP) Jepun, hari ini.
Pelumba Mercedes berusia 19 tahun itu meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini selepas memanfaatkan situasi kereta keselamatan di pertengahan perlumbaan di Litar Suzuka.
Walaupun bermula dari petak utama, dia melakukan permulaan kurang baik sebelum bangkit untuk memintas kelompok depan dan akhirnya menamatkan perlumbaan di hadapan pelumba McLaren, Oscar Piastri serta Ferrari, Charles Leclerc.
"Saya sangat gembira, jentera hari ini memang luar biasa," katanya sebaik melintasi garisan penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Antonelli kini mendahului carta kejuaraan selepas tiga perlumbaan, susulan kemenangan sulung kariernya di China, dua minggu lalu.
Rakan sepasukannya, George Russell yang memulakan perlumbaan sebagai pendahulu kejuaraan, menamatkan saingan di tempat keempat.
Russell sebelum itu bersaing sengit dengan Piastri bagi perebutan tempat pertama, namun strategi masuk pit sebelum kemunculan kereta keselamatan menjejaskan peluangnya untuk mencabar kemenangan.
Pelumba McLaren, Lando Norris menamatkan perlumbaan di tempat kelima, diikuti Lewis Hamilton dan Pierre Gasly.
Juara dunia empat kali, Max Verstappen dari Red Bull sekadar di tempat kelapan selepas bermula di petak ke-11.
Perlumbaan turut menyaksikan kemalangan membabitkan pelumba Haas, Ollie Bearman yang melanggar penghadang pada kelajuan tinggi, sekali gus memaksa kereta keselamatan dikeluarkan.
Bagaimanapun, Haas memaklumkan keputusan imbasan awal menunjukkan Bearman tidak mengalami sebarang patah tulang, hanya lebam pada lutut kanan.
F1 kini akan berehat sebelum kembali bersambung di GP Miami pada 3 Mei, selepas perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi dibatalkan susulan konflik di Asia Barat.