Verstappen kecewa jentera 'sukar dipandu'
REUTERS - Mac 28, 2026 @ 5:45pm

Max Verstappen ketika sesi kelayakan GP Jepun. Foto: REUTERS
SUZUKA: Pemandu Formula Satu (F1), Max Verstappen meluahkan kekecewaan terhadap prestasi jentera Red Bull yang disifatkannya sebagai 'sukar dipandu' selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik di Grand Prix (GP) Jepun, hari ini.
Pemandu dari Belanda berusia 28 tahun itu bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-11 sekali gus menamatkan rekod cemerlangnya meraih petak utama sebanyak empat kali berturut-turut di Litar Suzuka.
Keputusan itu tidak mengejutkan sepenuhnya apabila pasukan Mercedes dilihat mendominasi di bawah peraturan baharu F1 musim ini, selain saingan sengit daripada Ferrari dan McLaren yang turut mengatasi Red Bull.
Rakan sepasukannya, Isack Hadjar, bagaimanapun berjaya mara ke kelompok 10 terbaik dan akan memulakan perlumbaan di petak kelapan.
"Kenderaan langsung tidak memberi tindak balas di bahagian tengah selekoh, dan pada masa sama kami mengalami masalah 'oversteer' ketika memasuki selekoh.
"Kami fikir sudah memperbaikinya sedikit, tetapi ketika sesi kelayakan ia kembali berlaku dan bagi saya, kereta ini memang sukar dipandu.
"Saya juga menggunakan pakej aerodinamik berbeza hujung minggu ini, namun ia nampaknya tidak berfungsi dengan baik," kata Verstappen.
Verstappen, yang sudah mencatat 71 kemenangan dalam kariernya, kini berada di kedudukan kelapan carta kejuaraan dengan lapan mata selepas dua perlumbaan.
Pada perlumbaan pembukaan musim di Australia, Verstappen bangkit dari kedudukan ke-20 untuk menamatkan saingan di tempat keenam namun gagal meraih mata dalam perlumbaan pecut di China sebelum terpaksa menarik diri daripada perlumbaan utama.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/03/1526481/verstappen-kecewa-jentera-sukar-dipandu
|