GP Brazil: Hakim Danish raih tempat ke-10
Mac 23, 2026 @ 1:19am

Hakim Danish bermula di petak hadapan Moto3 GP Brazil.
GOIANIA, Brazil: Impian pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk menaiki podium di Grand Prix Brazil tidak kesampaian apabila menamatkan saingan di tempat ke-10 dalam perlumbaan dramatik akibat insiden kemalangan yang menyebabkan bendera merah dikibarkan di Litar Autodromo Internacional de Goiania.
Bagaimanapun, kedudukan ke-10 yang diraih pelumba berusia 18 tahun itu tetap wajar dibanggakan kerana ia membolehkannya mengutip enam mata pertama musim ini.
Kejayaan itu juga harus menjadi tonik terbaik buat pelumba kelahiran Terengganu yang mewakili pasukan AEON Credit - MT Helmets - MSI itu selepas gagal mengutip mata pada aksi pembukaan di GP Thailand apabila menduduki tempat ke-18.
Terdahulu, peluang Hakim Danish menaiki podium dilihat cerah selepas bermula di petak hadapan.
Pelumba dari Sepanyol, Maximo Quiles muncul juara dalam perlumbaan itu sekali gus merampas kedudukan pendahulu kejuaraan selepas penamat pecut lima pusingan.
Pelumba pasukan CFMoto Aspar itu berjaya menewaskan rakan sepasukannya, Marco Morelli, dengan kelebihan tipis 0.143 saat.
Veda Pratama mencipta sejarah apabila muncul pelumba Indonesia pertama menaiki podium Grand Prix selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam hanya penampilan keduanya.
Perlumbaan terpaksa dimulakan semula selepas satu kemalangan dramatik yang menyebabkan bendera merah terpaksa dikibarkan, sekali gus membawa kepada perlumbaan pecut yang menentukan kedudukan akhir.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/03/1524437/gp-brazil-hakim-danish-raih-tempat-ke-10
|