Edited by sfhzuraz at 22-3-2026 08:11 PM
Tang Jie-Ee Wei akui saingan makin kompetitif
Oleh Helmi Talkah - Mac 22, 2026 @ 6:15pm

Tang Jie-Ee Wei akui saingan beregu campuran makin terbuka dan kompetitif.
KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei menegaskan dia dan gandingannya, Chen Tang Jie, tidak boleh berada dalam zon selesa ketika saingan dalam acara itu kini semakin terbuka dan kompetitif.
Menurut Ee Wei, selain ancaman daripada tiga gandingan utama dunia iaitu Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping serta Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China, dan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, peningkatan dipamerkan gandingan lain juga tidak boleh dipandang mudah.
Katanya, kejayaan gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan yang muncul juara Seluruh England, awal bulan ini membuktikan saingan beregu campuran kini semakin terbuka, sekali gus menjadi peringatan bahawa tiada lawan yang boleh dipandang mudah.
"Sekarang ini, pusingan pertama atau kedua pun sudah mencabar kerana pemain ranking 30 atau 40 dunia pun sangat berbahaya.
"Kita boleh lihat ramai pemain utama tewas dan ini menunjukkan beregu campuran sangat terbuka untuk semua, jadi kita perlu terus bekerja keras," katanya.
Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking nombor empat dunia terkandas seawal pusingan pertama Seluruh England selepas tewas kepada gandingan ranking ke-31 dunia dari Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Kudsk.
Dalam pada itu, Ee Wei mengakui dia masih kurang pengalaman berbanding tiga pasangan utama dunia, namun semangat juang tinggi menjadi kelebihan dimilikinya.
"Saya rasa saya tidak mempunyai pengalaman sebanyak pemain ranking lebih tinggi yang sudah lama bersaing di peringkat tertinggi.
"Tetapi apa yang saya ada adalah semangat juang.
Itu yang saya boleh berikan," katanya.
Walaupun baru digandingkan kira-kira tiga tahun lalu, pasangan itu berjaya mencipta sensasi apabila muncul juara dunia tahun lalu.
Ee Wei berkata, dia sedar perlu terus bekerja keras untuk menambah pengalaman selain mengekalkan prestasi konsisten di pentas tertinggi.
"Saya perlu terus belajar dan percayakan pasangan, pasukan serta jurulatih dalam setiap langkah.
"Sebagai juara dunia, memang ada tekanan dan harapan, tetapi saya perlu hadapinya dan cari jalan untuk atasi masalah di gelanggang," katanya yang ketika ini dalam persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China dari 7 hingga 12 April ini.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/03/1524396/tang-jie-ee-wei-akui-saingan-makin-kompetitif
|