Shanghai: Pelumba muda Itali Kimi Antonelli memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) buat kali pertama di China dengan penuh emosi hari ini selepas menewaskan rakan sepasukan di Mercedes-AMG, George Russell di tempat kedua serta Lewis Hamilton yang meraih podium pertamanya bersama Scuderia Ferrari.
Antonelli yang berusia 19 tahun menukar statusnya sebagai pemenang petak utama termuda dalam sejarah Formula Satu (F1) kepada kemenangan selepas kedua-dua jentera McLaren gagal memulakan perlumbaan di Shanghai.
Antonelli kehilangan kedudukan pendahulu pada permulaan namun sebaik sahaja kembali di hadapan, remaja itu mengawal rentak perlumbaan dengan baik sebelum melintasi garisan penamat dengan selesa.
Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan jentera Ferrari kedua.
Hamilton seperti yang dilakukannya dalam perlumbaan pecut kelmarin membuat permulaan yang sangat baik dan sudah berada di hadapan ketika kereta lain keluar dari kompleks selekoh pertama.
Leclerc juga memulakan perlumbaan dengan cemerlang dan berjaya memintas Russell yang bermula di petak kedua.
Empat pelumba teratas saling bertukar kedudukan beberapa kali sebelum kemunculan kereta keselamatan pada pusingan ke-11 memaksa mereka semua masuk ke pit.
Selepas perlumbaan disambung semula, Antonelli mendahului Hamilton di tempat kedua, diikuti Leclerc di tempat ketiga dan Russell di tempat keempat.
Menjelang pusingan ke-29, Russell berjaya memintas kedua-dua Ferrari untuk naik ke tempat kedua sebelum cuba mengejar rakan sepasukannya dari Itali itu, yang ketika itu sudah mendahului lebih tujuh saat.
Juara dunia empat kali Max Verstappen pula meneruskan permulaan musim yang hambar buat Red Bull Racing apabila diarahkan menghentikan keretanya pada pusingan ke-46.
Antonelli akhirnya kelihatan menitiskan air mata selepas perlumbaan apabila meraikan kemenangan pertamanya dalam F1.