Shanghai: Pendahulu kejuaraan, George Russell meraih petak utama bagi perlumbaan pecut Grand Prix (GP) China esok, sekali gus menghadiahkan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team kedudukan satu dua di hadapan rakan sepasukan, Kimi Antonelli.
Russell mencatat masa 1 minit 31.520 saat (s) di Litar Antarabangsa Shanghai yang sepanjang 5.451 kilometer (km), 0.289s lebih pantas berbanding Antonelli, manakala juara dunia, Lando Norris ketinggalan 0.621s di tempat ketiga di belakang rakan senegaranya dari England itu.
Berkongsi barisan kedua untuk perlumbaan 19 pusingan pada pagi esok bersama Norris ialah Lewis Hamilton, pemenang perlumbaan pecut China tahun lalu.
Juara dunia tujuh kali itu menamatkan sesi di tempat keempat bersama Scuderia Ferrari, 0.641s lebih perlahan daripada Russell.
"Jentera terasa sangat hebat," kata Russell yang kini mendahului kejuaraan selepas memenangi perlumbaan pembukaan musim di Grand Prix Australia hujung minggu lalu.
"Kami sudah tahu selepas Melbourne bahawa kami mempunyai kereta yang sangat bagus.
Enjin juga berfungsi dengan amat baik.
Hari ini memang menyeronokkan untuk dipandu, jadi saya sangat gembira," tambah Russell.
Pasukan McLaren Formula 1 Team menunggu hingga saat akhir dalam sesi kelayakan terakhir untuk keluar melakukan satu pusingan terpantas, dengan harapan dapat memanfaatkan keadaan litar yang paling pantas.
Strategi itu berhasil apabila Norris berjaya memintas dua jentera Ferrari, manakala Oscar Piastri memisahkan kedua-duanya dengan mencatat masa kelima terpantas.
Charles Leclerc, yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Melbourne minggu lalu, berada di kedudukan keenam terpantas.
Pierre Gasly pula meletakkan Alpine F1 Team di barisan keempat selepas mencatat masa ketujuh terpantas.
Pasukan Red Bull Racing sekali lagi bergelut dari segi kelajuan dengan unit kuasa baharu yang dibangunkan sendiri, menggantikan enjin Honda bermula musim ini selain masih menyesuaikan diri dengan peraturan era baharu.
Juara dunia empat kali, Max Verstappen sekadar di tempat kelapan, ketinggalan jauh 1.734s di belakang Russell, manakala Isack Hadjar hanya mampu menduduki tempat ke-10 di belakang jentera Haas F1 Team yang dipandu Oliver Bearman.