Zii Jia tersingkir awal di Basel
Oleh Alief Iqbal Saidin - Mac 12, 2026 @ 7:50am

Lee Zii Jia tumpas di tangan pemain Singapura, Jason Teh pada pusingan pertama perseorangan lelaki Terbuka Switzerland di Basel. – Foto fail REUTERS
KUALA LUMPUR: Hasrat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah jauh pada Terbuka Switzerland tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama di tangan Jason Teh dari Singapura, awal pagi tadi.
Zii Jia, juara Seluruh England 2021, tewas 12-21, 14-21 dalam tempoh 28 minit di Basel sekali gus menamatkan kemaraannya pada kejohanan bertaraf Super 300 itu.
Kekalahan itu turut menangguhkan usaha pemain berusia 27 tahun itu untuk kembali meraih gelaran dalam Jelajah Dunia BWF selepas kali terakhir menjuarai Terbuka Australia pada 2024.
Pemain berasal dari Alor Setar itu melangkah ke undian utama selepas menundukkan pemain Jepun, Minoru Koga 21-14, 21-10 dan pemain Denmark, Ditlev Jaeger Holm 21-17, 19-21, 21-16 pada pusingan kelayakan.
Di sebalik kekalahan Zii Jia, Justin Hoh meneruskan cabaran apabila bangkit mencatat kemenangan dramatik ke atas pemain Perancis, Arnaud Merkle 20-22, 21-16, 21-17.
Justin akan berdepan pemain India, Tharun Mannepalli dengan pemain negara itu memiliki rekod pertemuan lebih baik 3-1 setakat ini.
Dalam acara perseorangan wanita, Malaysia mempunyai seorang wakil pada pusingan kedua hari ini apabila Wong Ling Ching bertemu pilihan utama dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/03/1520157/zii-jia-tersingkir-awal-di-basel
|