Kelantan permudah proses daftar perkahwinan warganya yang nikah di Thailand
Hidayatidayu Razali - Mac 9, 2026 @ 2:12pm
Proses pendaftaran pengesahan pernikahan rakyat Kelantan di negara jiran akan dipermudah dan dipercepatkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK). - Foto hiasan NSTP
KOTA BHARU: Proses pendaftaran pengesahan pernikahan rakyat Kelantan di negara jiran akan dipermudah dan dipercepatkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, berkata proses pendaftaran perkahwinan berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua bulan.
"Namun, (pasangan) akan tetap dikenakan denda. Perkahwinan di negara jiran tidak digalakkan tapi yang terlanjur dan terlepas (nikah di sana), kita akan permudahkan urusan itu (daftar) supaya persekolahan dan pendidikan anak-anak terjamin sepenuhnya," katanya di sini, malam tadi.
Terdahulu media melaporkan, lebih 800 pasangan dari Malaysia berkahwin di Selatan Thailand sepanjang tahun lalu, dengan kebanyakannya untuk berpoligami.
Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, dilaporkan berkata, selain berpoligami, pasangan berkenaan juga dikatakan tidak mendapat restu keluarga sehingga terpaksa berkahwin di Thailand.
|