Bukan hanya habuan RM423,432 jadi buruan Aaron-Wooi Yik, Won Ho-Seung Jae di final Seluruh England
Oleh Alief Iqbal Saidin - Mac 8, 2026 @ 4:11pm

Pasangan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kanan) menentang Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada aksi akhir Seluruh England.
KUALA LUMPUR: Impian final ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi untuk menyaksikan anak didiknya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada aksi akhir Seluruh England, akhirnya menjadi kenyataan.
Ini selepas kedua-duanya melepasi halangan separuh akhir awal pagi tadi sekali gus pertembungan beregu nombor satu dan dua dunia itu di Birmingham, malam ini dijangka sengit dan mendebarkan berdasarkan tiga rekod pertemuan sebelum ini.
Pada pertembungan terakhir di final Terbuka Malaysia Januari lalu, Aaron-Wooi Yik tewas 15-21, 21-12, 18-21.
Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan Korea Selatan itu 15-21, 21-18, 21-19 di final Terbuka Singapura tahun lalu.
Bagaimanapun, pada pertembungan sulung dimenangi Won Ho-Seung Jae 22-20, 19-21 di separuh akhir Terbuka India, tahun lalu . Bukan sekadar gelaran juara dan habuan RM423,432 yang menjadi rebutan, tetapi banyak lagi yang dipertaruhkan kedua-dua beregu itu, sekali gus menjadikan pertembungan malam ini sarat dengan emosi, percaturan taktikal dan dendam.
Won Ho-Seung Jae pasti akan turun dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan, manakala Aaron-Wooi Yik pula memburu gelaran pertama pertandingan tertua dan berprestij itu.
Malah, tugas berat menanti Aaron-Wooi Yik yang menjadi sandaran untuk menamatkan penantian 19 tahun selepas kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai Seluruh England menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2007.
Mengulas mengenai pertembungan itu, Wooi Yik berkata, mereka tidak mahu terlalu memikirkan mengenai keputusan akhir sebaliknya memilih untuk kekal fokus kepada setiap mata seperti yang dilakukan sepanjang kejohanan ini.
"Sejujurnya, saya dan Aaron hanya mahu fokus mata demi mata.
Itulah yang membawa kami ke tahap ini sehingga hari ini.
"Kami tidak mahu berfikir terlalu banyak tentang perkara lain.
Saya percaya keputusan akan datang dengan sendirinya apabila kami lebih fokus kepada prestasi kami di dalam gelanggang," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/03/1518563/bukan-hanya-habuan-rm423432-jadi-buruan-aaron-wooi-yik-won-ho-seung-jae
|