Russell, Mercedes ungguli GP Australia
Mac 8, 2026 @ 1:50pm

Pemandu Mercedes, George Russell (tengah) menjuarai GP Australia di Litar Albert Park, Melbourne, hari ini. Turut di podium ialah rakan sepasukan Mercedes di tempat kedua, Andrea Kimi Antonelli (kiri) dan pemandu Ferrari di tempat ketiga, Charles Leclerc. – Foto REUTERS
MELBOURNE: George Russell menghadiahkan kemenangan pada perlumbaan pembukaan musim Formula Satu (F1) buat Mercedes selepas memenangi Grand Prix Australia, sekali gus menewaskan rakan sepasukan Kimi Antonelli di Litar Albert Park, hari ini.
Selepas menguasai sesi kelayakan, Russell yang bermula dari petak utama mempamerkan aksi mantap untuk meraih kemenangan pertamanya di Albert Park, sekali gus mengesahkan prestasi memberangsangkan Mercedes sepanjang ujian pramusim.

Pemandu Mercedes dari Britain, George Russell (tengah) meraikan kejayaan menjuarai perlumbaan Grand Prix Formula Satu Australia di Litar Albert Park, Melbourne. – Foto AFP
Pemandu Britain itu menamatkan perlumbaan hampir tiga saat di depan Antonelli, manakala Charles Leclerc dari Ferrari ketinggalan lebih 15 saat di tempat ketiga.
Russell dan Leclerc terlebih dahulu menghidangkan aksi sengit apabila kedua-duanya saling bertukar kedudukan pendahulu sebanyak tujuh kali dalam sembilan pusingan awal.
Bagaimanapun selepas itu Mercedes mula menguasai perlumbaan dengan kelebihan ketara berbanding pencabar lain.

Persaingan sengit pada permulaan perlumbaan GP Australia di antara pemandu Ferrari, Charles Leclerc dan pemandu Mercedes, George Russell. – Foto AFP

Pemandu Mercedes, George Russell mengawal jenteranya dengan cemerlang pada perlumbaan GP Australia hari ini. – Foto AFP
Russell menukar tayar medium lebih awal selepas perlumbaan memasuki fasa kereta keselamatan maya sebelum menggunakan tayar keras untuk baki 45 pusingan, dengan kelebihan jentera Mercedes memastikan dia terus mendahului hingga ke garisan penamat.
"Kerja yang hebat semua, sudah lama kami tidak berada di posisi ini," katanya menerusi radio pasukan.
Ia hari yang sukar buat McLaren apabila pemandu tuan rumah, Oscar Piastri terbabit kemalangan ketika pusingan tinjauan kira-kira 40 minit sebelum perlumbaan bermula.
Rakan sepasukannya dan juara bertahan, Lando Norris menamatkan perlumbaan di tempat kelima, satu kedudukan di belakang juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton dari Ferrari, manakala Max Verstappen dari Red Bull di tempat keenam.
Hanya 20 daripada 22 jentera memulakan perlumbaan selepas Nico Hulkenberg dari Audi menarik diri pada saat akhir akibat masalah teknikal, sementara tiga lagi pelumba gagal menamatkan perlumbaan termasuk Isack Hadjar dari Red Bull. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/03/1518486/russell-mercedes-ungguli-gp-australia
|