Qabil Irfan tempat keenam Perlumbaan 1
Februari 28, 2026 @ 6:20pm

Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan menamatkan Perlumbaan 1 Kejuaraan Moto4 Asia Cup 2026 di tempat keenam.
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan memulakan kempen Kejuaraan Moto4 Asia Cup 2026 dengan langkah positif apabila menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan keenam keseluruhan di Litar Antarabangsa Chang, hari ini.
Memulakan saingan dari petak kedua, Qabil bagaimanapun gagal mengekalkan rentak cemerlang di awal perlumbaan apabila dipintas beberapa pencabar di pertengahan saingan.
Namun, pelumba muda itu kekal tenang dan konsisten untuk berada dalam kelompok lapan terbaik ketika perebutan podium lebih terarah kepada dua pelumba Jepun, Hayato Chishiki dan Waku Kunitate yang mendahului saingan.
Perlumbaan 15 pusingan itu akhirnya dimenangi Chishiki dengan catatan keseluruhan 27 minit 01.085 saat (s), manakala Kunitate terlepas kemenangan tipis apabila ketinggalan hanya 0.017s di belakang rakan senegaranya itu.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Indonesia, Bintang Pranata yang ketinggalan 2.613s, diikuti wakil tuan rumah, Pacharagorn Thonggerdloung di tempat keempat dan seorang lagi pelumba Jepun, Haruki Matsuyama di kedudukan kelima.
Qabil menamatkan perlumbaan dengan perbezaan 3.076s di belakang pemenang untuk mengutip 10 mata berharga menjelang Perlumbaan 2 yang dijadual berlangsung esok.
Sementara itu, dua lagi wakil negara, Muhammad Naqib Rifqi dan Qayyim Razin Razali masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-16 dan ke-17.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/02/1515106/qabil-irfan-tempat-keenam-perlumbaan-1
|